malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan wujud sistem tunggal daftar pekerja asing elak monopoli
ADS

Kerajaan menetapkan hanya satu sistem tunggal pendaftaran kemasukan pekerja asing di negara ini bagi mengelakkan kegiatan monopoli berlaku.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata langkah itu bagi memastikan tiada lagi sistem pendaftaran berasingan mengikut negara asal seperti yang diamalkan sebelum ini.

Dr Mahathir berkata pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Bangladesh mengenai sistem yang terbuka kepada semua ejen pekerja asing.

“Kita mendapati hanya sepuluh ejen di Bangladesh dibenarkan memproses dokumen perjalanan pekerja yang akan masuk ke negara ini.

"Situasi ini menyebabkan berlakunya kegiatan monopoli, sehingga kadang-kadang ejen ini mengenakan bayaran sehingga RM20,000.

“Jadi kita hendak meluaskan kepada semua ejen supaya mereka dapat bersaing. Kita akan wujudkan sistem tunggal tanpa pengasingan mengikut negara.

"Semua pekerja asing dari Nepal, Bangladesh akan guna sistem sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Senario dan Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia, di parlimen, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Dr Mahathir juga memaklumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa yang disertai Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia bagi melihat pengurusan dasar dan pekerja asing.

Lihat Komen