malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pekerja tanpa dokumen 'tiada hak' tuntut gaji tak dibayar
ADS

Nona* (bukan nama sebenar) sudah menunggu hampir setahun untuk menuntut gajinya berjumlah lebih RM30,000, serta faedah-faedah lain, ketika bekerja sebagai pembantu rumah.

Namun hasratnya berkubur hari ini selepas pejabat tenaga kerja menolak permohonan tuntutannya.

Dalam perintah bertulis yang dilihat Malaysiakini, pengarah tenaga kerja Misswandi Pardy berkata tuntutan berjumlah RM30,265.32 itu "ditolak dan kemudiannya digugurkan sebagai penyelesaian kes", berdasarkan Seksyen 69 Akta Pekerja 1955.

Nona hadir ke pejabat tenaga kerja hari ini ditemani wakil NGO hak migran Tenaganita, Joseph Paul Maliamauv dan peguam S Devi.

Difahamkan majikannya tidak hadir dan hanya diwakili seorang peguam.

Malaysiakini pertama kali bertemu Nona di pejabat Tenaganita di Petaling Jaya Disember lalu. Ketika itu dia berlindung di sana selepas lari daripada majikannya yang didakwa khianat. Dia sempat bekerja selama empat tahun setengah.

Dengan bantuan Tenaganita, kes difailkan di pejabat tenaga kerja Pelabuhan Klang selepas rundingan dengan majikannya menemui jalan buntu.

Tiada hak untuk tuntutan

Joseph (gambar) berkata Misswandi memutuskan Nona adalah pekerja tanpa dokumen dan maka "tiada hak" untuk memfailkan tuntutan di pejabat tenaga kerja.

"Intipati keputusan itu adalah dia tidak boleh failakn tuntutan kerana seorang pekerja tanpa dokumen.

"Tetapi ia mengabaikan hakikat dia telah bekerja selama lebih empat tahun," katanya.

Menyifatkan keputusan itu sebagai penyimpangan terhadap keadilan, Joseph berkata Tenaganita akan memfailkan rayuan.

"Pastinya kita akan merayu. Kita akan perjuangkan perkara ini habis-habisan," katanya.

Buka pintu eksploitasi

Joseph berkata status Nona sebagai pekerja tanpa dokumen tidak boleh menjadi asas untuk menafikan haknya mendapat gaji yang saksama.

"Bagi kami, keputusan ini membuka pintu untuk majikan di Malaysia terus mengeksploitasikan pekerja tanpa dokumen.

"Apa yang mereka (majikan) boleh buat adalah, ambil pekerja tanpa dokumen, peras tenaga mereka dan buang mereka, kerana mereka (pekerja) tiada hak untuk membuat tuntutan," katanya lagi.

Beliau juga bekrta status imigresen seseorang tidak boleh menjadi asas menafikan hak asas mereka.

"Misalnya, jika Nona diserang atau ditipu, adakah ini bermakna dia tidak boleh mendapatkan keadilan?"

Tempat berlindung

Sementara itu, Nona memberitahu dia meluangkan masa di pusat perlindungan Tenaganita untuk belajar kemahiran asas menjahit serta menghadiri sesi kaunseling.

"Saya tak tahu sama ada akan dapat duit saya." Dia berkata sudah tujuh kali ke pejabat tenaga kerja sejak Oktober lalu.

Hasratnya untuk menggunakan wang itu bagi membantu keluarga di Kupang, Nusa Tenggara Timur di Indonesia. "Tetapi bagaimana jika saya tak akan dapat lagi duit itu?" soalnya lagi penuh kecewa.

Selama empat tahun setengah Nona menjalankan dua pekerjaan - pembantu rumah dan pembantu kedai. Ia merupakan kesalahan bawah undang-undang buruh Malaysia yang hanya membenarkan pekerja asing bekerja di satu sektor seperti yang dinyatakan di permit mereka.

Sepanjang tempoh itu, Nona berkata dia mendapat gaji RM550 sebulan, lebih rendah daripada apa yang dijanjikan ejen - RM700 - sebelum meninggalkan kampung halamannya.

Sehingga kini, kata Nona, dia hanya dibayar RM9,000, yang dimasukkan ke akaun bank milik seorang ahli keluarganya di Indonesia.

Tenaganita berkata jumlah tuntutan yang difailkan berdasarkan pengiraan gaji Nona yang tidak dibayar serta faedah-faedah lain.

Lihat Komen