malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN |  Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akhirnya terpaksa mengakui kesukaran memansuhkan kutipan tol di seluruh negara. Kemudian sudah diduga, isu kelemahan ekonomi negara akan digunakan untuk menutup kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menunaikan janji manifestonya kepada rakyat sedangkan ia merancang pembangunan berbilion ringgit.

Namun, sesuatu yang sukar diterima dan tidak masuk akal. Dalam merancang pembinaan projek LRT Pulau Pinang yang bakal menelan belanja berbilion ringgit, dan usahasama kereta nasional ke-3 dengan Indonesia, kerajaan tampak tidak tahu mengurus kewangan negara dengan baik serta tidak berkeupayaan menentukan keutamaan dan keperluan rakyat.

Pengumuman Menteri Kerja Raya, Baru Bian tidak sedikitpun memeranjatkan pembangkang kerana pemansuhan tol dan PTPTN yang didakwa sebagai sama jumlahnya dengan hutang 1MDB, sebenarnya cuma janji untuk menipu rakyat dan menggula-gulakan mereka.

Lebih menampakkan permainan persepsi oleh kerajaan HARAPAN, ialah apabila memaklumkan pada rakyat perlunya menjual kapal mewah Equanimity untuk membayar hutang 1MDB.

BN wariskan kewangan kukuh

Semua ini boleh dipersoalkan kerana adalah sesuatu yang kurang waras memandangkan kerajaan Amerika Syarikat belum pun secara rasminya memaklumkan Malaysia bahawa ia dibeli dengan wang rakyat.

Kerajaan Barisan Nasional sebenarnya mewariskan kewangan dan tahap ekonomi yang kukuh kepada HARAPAN.

Dengan pakej stimulus dan rangsangan ekonomi yang mantap sepatutnya tidak menimbulkan banyak masalah kepada kerajaan HARAPAN, namun mereka terus mencari jalan untuk berbohong agar kebanyakan janji manifesto tidak ditunaikan.

Kita tahu bahawa penghapusan kutipan tol yang membabitkan RM52 bilion dalam bentuk sukuk, amat mustahil dilaksanakan, lebih-lebih lagi dengan beberapa pembinaan lebuh raya bertol bernilai kira-kira RM40 bilion sekarang.

Apakah kerajaan sanggup membayar balik kos pembinaan lebuh raya berkenaan dan menanggung biaya senggaraannya?

Sampai bilakah kerajaan HARAPAN akan menggunakan helah 'ekonomi yang lemah' untuk menutup kegagalannya menunaikan janji kepada rakyat?

Lebih tidak meningkatkan keyakinan pemain ekonomi apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula membuat kenyataan seperti budak sekolah umpamanya berkata sistem percukaian SST akan lebih merancakkan pembangunan ekonomi dan negara tidak akan bankrap.

Apakah Malaysia sudah bankrap ketika HARAPAN mengambil alih? Ke mana perginya pakar ekonomi mereka yang sepatutnya memberi tumpuan kepada 'stimulus package' dan formula terbaik untuk meringankan beban hidup rakyat.

Mungkin kerajaan menganggap pemansuhan BTN dan Program Latihan Khidmat Negara yang diumumkan hari ini adalah untuk kebaikan rakyat dan meningkatkan taraf hidup mereka, malah mungkin menganggap tindakan penting ketika ini.

Dendam kesumat hapuskan projek BN

Pada saya, ia cuma untuk meneruskan politik dendam kesumat dengan menghapuskan apa saja projek yang diperkenalkan di bawah kerajaan BN. Sedang keutamaan kerajaan sepatut membela kebajikan rakyat ketika ini.

Justeru, bilakah kutipan tol akan dihentikan? Bagaimana pula dengan PTPTN? Sampai bila pula ekonomi negara akan dianggap kukuh untuk melaksanakan janji-janji PRU14 itu?

Paling tidak masuk akal ialah helah perdana menteri untuk tidak memberi kenaikan gaji walau satu peratus pun kepada penjawat awam, kononnya menunggu sehingga ekonomi pulih.

Semua dilihat tidak mesra rakyat sebaliknya lebih 'mesra kroni-kroni' kerajaan. Selama mana pula rakyat akan berdiam diri dengan segala pembohongan dan putar-belit seumpama ini.

Malah dalam keadaan kerajaan HARAPAN mendakwa tiada wang, dalam RUU Perbekalan ( Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan ) 2018 yang dibahas hari ini, diperuntukkan pula perbelanjaan untuk Formula 1 di bawah kementerian belia dan sukan ?


DATUK DR SHAMSUL ANUAR NASARAH ialah Ketua Penerangan Umno.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen