malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
BERSATU: Jangan heret Dr M, Daim dalam pemilihan PKR
Diterbitkan:  Aug 13, 2018 11:52 AM
Dikemaskini: 3:59 AM
ADS

Dua anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU hari ini memberi amaran agar Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin tidak dilibatkan dalam persaingan kem dalam PKR menjelang pemilihan parti itu.

Apatah lagi jika ia bersifat tuduhan liar dan boleh menjejaskan hubungan antara parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN), kata mereka.

"Rakan-rakan dalam PKR wajar menjadi lebih beradab...Dalam keghairahan mencari jawatan dalam parti, berbicaralah mengenai hal parti sendiri dan jangan memfitnah pemimpin parti lain.

"Dalam kami menghormati persahabatan yang dibina, janganlah pula ada pemimpin parti lain yang celupar memfitnah semata-mata kerana nafsu mahu mengejar jawatan dunia," kata Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan calon anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Abdullah Sani Abdul Hamid dalam satu acara kempen 'Reformasi 20 tahun' mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi perdana menteri jika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menewaskan Rafizi Ramli dalam perebutan kerusi timbalan presiden.

Menurut The Malaysian Insight, beliau berkata ini kerana Azmin mendapat sokongan Mahathir - pengerusi BERSATU - dan Daim.

Seorang lagi anggota MPT BERSATU Ulya Aqamah Husamudin pula berkata tuduhan itu hanya bertujuan memenangkan satu pihak dalam pemilihan PKR.

"Berkempenlah secara berhemah dan profesional. Jaga sensitivi parti komponen lain dan hentikan tindakan yang boleh memecah-belahkan kesepaduan antara kita.

"Sesungguhnya Tun Mahathir tidak pernah campur tangan dalam urusan parti lain," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Anwar sendiri ketika mengulas dakwaan Abdullah menyifatkannya sebagai pandangan peribadi dan menggesa semua calon untuk menumpukan soal dasar dan bukannya serangan peribadi ketika berkempen.

Abdullah bagaimanapun mempertahankan dakwaan itu dan menambah beliau yakin Azmin dan Daim berpakat untuk menghalang pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dalam pada itu, Wan saiful menggesa pemimpin PKR bertindak tegas dan menyatakan rasa tidak setuju mereka dalam perkara itu jika tidak mahu melihat rakyat menganggap mereka setuju dengan tindakan itu.

"Perangai buruk tidak berakhlak ini bukan budaya yang kita mahu bentuk dalam HARAPAN. Jangan heret orang lain masuk ke dalam perpecahan teruk parti sendiri," katanya.

 

Lihat Komen