malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mufti P Pinang: Seni bukan untuk tujuan liar dan tak bermoral
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 3:05 PM
Dikemaskini: 7:26 AM
ADS

Golongan yang kecewa dengan penurunan potret aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam pameran fotografi tidak faham erti kebebasan, kata Mufti Pulau Pinang.

“Apa yang mereka perjuangkan sebenarnya ialah kebebasan haiwan kerana kebebasan manusia mestilah dibatasi agama dan adat,” kata Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dipetik Sinar Harian.

Wan Salim berkata demikian sebagai menggesa agar kerajaan Pulau Pinang tidak tunduk dengan desakan yang diterima susulan penurunan potret aktivis LGBT, Nisha Ayub dan Pang Khee Teik dalam festival pameran fotografi Stripes and Strokes di George Town.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof semalam mengaku mengarahkan potret aktivis LGBT itu diturunkan dengan menyifatkan ia berbentuk promosi serta bertentangan dengan polisi kerajaan berhubung isu LGBT.

Tambah Wan Salim, Islam tidak menentang aktiviti seni tetapi perlu mengikut batas agama dan adat.

“Biarlah segala kegiatan seni yang kita lakukan mampu menyumbang kepada pembinaan peribadi dan jati diri bangsa kita, bukan seni yang liar dan tidak bermoral yang boleh membawa bangsa dan negara kita ke jurang keruntuhan,” katanya dipetik sebagai berkata.

Dalam perkembangan sama, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria memuji dan menyokong tindakan Mujahid dalam menangani perkara itu.

"Tahniah dan syabas diucapkan kepada menteri agama kerana berani menyatakan kebenaran dan secara tidak langsung mempertahankan kredibiliti institusi agama Islam," katanya.

Harussani juga berkata mempromosi ikon LGBT merupakan usaha untuk "menggalakkan dan mengiktiraf" golongan berkenaan.

"LGBT adalah perbuatan mungkar yang dilaknat dan diharamkan oleh Allah sama ada dilakukan secara terang atau sembunyi.

"LGBT juga merupakan perbuatan terkutuk yang menyalahi kemuliaan seseorang manusia kerana menafikan hak berhubungan melalui perkahwinan yang sah dan diiktiraf syarak.

"Perbuatan mempromosi ikon-ikon LGBT di khalayak ramai adalah usaha untuk menggalakkan dan mengiktiraf perbuatan haram tersebut," katanya.

Lihat Komen