Isu LGBT: Bahasa Siti Kasim tak matang, kata mufti

    (Dikemaskini )

    Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sekali lagi mengajak peguam kontroversi, Siti Kasim untuk berdialog secara terbuka berkaitan isu golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

    “Dulu Puan Siti Kassim telah kita jemput untuk satu majlis dialog terbuka tentang isu Islam di Malaysia. Beliau enggan datang dengan alasan-alasan beliau.

    “Padahal, ia satu dialog yang adil selaras dengan semangat Malaysia baharu yang ingin menjadikan dialog matang sebagai pentas penyuburan pemikiran rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dihantar di Facebook.

    Menurut beliau, Siti Kasim sekali lagi bising kali ini berkaitan LGBT dan bahasa yang digunakan Siti Kasim sangat tidak matang.

    “Hari ini beliau bising lagi pasal LBGT, seakan akan undi beliau dan golongan LGBT sahaja yang menyebabkan kerajaan hari ini memerintah.

    “Sangat tidak matang cara bahasa dan gaya yang dipertontonkan. Apatahlagi jika mahu diukur dari nilai budaya timur dan nusantara kita yang santun dan berbudi bahasa. Sangat janggal. Bimbang jika watak seperti itu dilihat oleh anak-anak kita yang masih mentah.” katanya.

    Mohd Asri berkata, dialog adalah sesuatu yang adil dilakukan dan selaras dengan semangat Malaysia baru yang ingin menjadikan dialog matang sebagai pentas penyuburan pemikiran rakyat.

    Mengulas lanjut, mufti itu berharap ada pihak yang boleh menganjurkan dialog beliau bersama Siti Kassim.

    Beliau juga percaya terdapat ramai tokoh ataupun aktivis masyarakat yang boleh dipilih untuk mewakili suara majoriti rakyat yang tidak menerima LGBT.

    “Mungkin Ustaz Salman Ali juga masih bersedia untuk dialog tersebut.

    “Jika tiada penganjur, kita di Perlis akan menjemput beliau untuk dialog tersebut secara terbuka dan adil,” katanya.

    Pada 8 Ogos lalu, selaras dengan tindakan Stiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus yang mengarahkan George Town Festival menurunkan gambar yang menampilkan dua orang aktivis LGBT - Nisha Ayub dan Pang Khee Teik - Siti Kassim juga meminta potretnya diturunkan.

    Beliau turut membidas kerajaan Pakatan Harapan yang menurutnya sebagai tidak ada beza dengan kerajaan BN sebelum ini. Malah katanya, rakyat telah mengundi “closet Islamofascists”.

    Sambil menyelar mereka yang mengarahkan supaya gambar aktivis LGBT itu diturunkan, peguam itu berkata, pemimpin tidak seharusnya tunduk kepada mereka yang taksub dan fasis.




    Pengiklanan