malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan: Daim mungkin dilantik jadi penasihat k'jaan
ADS

Satu laporan media membayangkan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin mungkin dilantik menjadi penasihat dalam kerajaan selepas kemungkinan pembubaran majlis itu.

Menurut The Star yang memetik sumber, bekas menteri kewangan itu mungkin dilantik ekoran pengalamannya dalam perkhidmatan awam dan sektor swasta.

Sumber itu dipetik berkata, Daim akan membantu menteri-menteri baru dalam soal pentadbiran awam.

"Ramai menteri yang masih baru dan tidak memegang pernah memegang jawatan besar dalam kerajaan. Menguruskan menteri adalah sukar, terutama mengendali perkhidmatan awam yang memiliki pegawai kanan yang sudah lama berkhidmat," katanya.

Laporan itu juga memetik seorang pesara kakitangan kanan kerajaan yang tidak dinamakan sebagai berkata, kepakaran Daim selaku bekas menteri kewangan bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad boleh membantu jika negara mengalami kemelesetan.

"Pada 1985, Daim menjadi menteri kewangan, ketika itu negara mengalami krisis ekonomi ekoran kemelesetan global. Pada 1998, Dr Mahathir memanggil semula Daim untuk membantunya ketika negara mengalami kemelesetan paling buruk," katanya.

Ketua Biro Dasar dan Strategi BERSATU Datuk Rais Hussin berkata, terpulang kepada Mahathir untuk melanjutkan tempoh Majlis Penasihat Kerajaan dan peranan anggotanya selepas itu.

"Bagi Daim, ada pelbagai variasi untuk peranannya pada masa akan datang, ada yang kata dia akan dilantik sebagai penasihat, ada juga berkata mandat Majlis Penasihat Kerajaan akan diperbaharui.

"Kita perlu ingat pengetahuan dan pengalaman Daim, terutama dalam mengendalikan perkhidmatan awam, adalah satu aset besar," katanya ketika dihubungi.

Rais bagaimanapun berkata keputusan tersebut belum muktamad.

"Perdana menteri akan membuat keputusan dengan berunding dengan kabinet dan majlis presiden HARAPAN untuk menentukan langkah seterusnya berkaitan Majlis Penasihat Kerajaan," katanya.

Majlis itu ditubuhkan Mahathir sebaik mengangkat sumpah sebagai perdana menteri. Ia ditugaskan membantu kerajaan dalam masa 100 hari pentadbiran namun spekulasi mengatakan tempohnya mungkin dilanjutkan.

Bagaimanapun salah seorang anggotanya Tan Sri Zeti Aziz baru-baru ini berkata tugas mereka hampir selesai dan sedang menyiapkan laporan penuh.

Lihat Komen