malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Memperkasa Islam: Jawatankuasa Tertinggi akan panggil lebih 100 institusi
ADS

Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan akan memanggil lebih 100 institusi berkaitan Islam dan pertubuhan politik dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan maklum balas berhubung kajian kedudukan pengurusan hal ehwal Islam.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, semua mereka akan dipanggil untuk menghantar memorandum dan membuat pembentangan bagi melengkapkan maklumat bagi membolehkan jawatankuasa itu menyediakan laporan lengkap bagi menambahbaik institusi Islam.

"Kami juga akan memberi peluang kepada jabatan negeri, mufti, individu, selain meminta pandangan dan sumbang saran dalam kalangan orang bukan Islam serta golongan yang mempunyai kepakaran terdiri daripada ahli akademik dan wartawan.

"Jawatankuasa ini turut mengalu-alukan sebarang memorandum secara bertulis daripada masyarakat awam yang boleh dikemukakan kepada setiausaha jawatan kuasa," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, semua persidangan jawatankuasa itu termasuk urusan temubual dijalankan dan memorandum yang dihantar kepada mereka, diklasifikasikan sebagai tertutup serta tidak dibenarkan sebagai siaran umum.

Tambahnya, jawatankuasa itu akan bersidang selama lima bulan sebelum mempersembahkan laporan merangkumi penemuan dan penilaian menyeluruh aspek pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, bersama syor penambahbaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Sementara itu, Timbalan Pengerusinya Datuk Dr Afifi Al-Akiti mengesahkan pihaknya juga akan mengkaji dan menstrukturkan semula badan berkaitan Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Ya, ya memang betul kita melihat untuk penstrukturan semula," katanya.

Sebelum ini, beberapa individu, parti dan NGO mendakwa dasar negara yang diterajui kerajaan Pakatan Harapan tidak lagi melindungi agama Islam dan Melayu tetapi sebaliknya menuju kepada sekularisme total.

Antara yang menjadi isu termasuk saranan menutup sekolah tahfidz, hak sama rata untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan pelantikan bukan Melayu bagi mengisi beberapa jawatan kanan kerajaan.

Untuk rekod, Raja-raja Melayu pada 30 Julai lalu, berkenan menubuhkan jawatankuasa itu bagi tujuan penambahbaikan institusi Islam di peringkat persekutuan.

Jawatankuasa itu disertai lapan anggota termasuk wakil Universiti Islam Antarabangsa Prof Emeritus, Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot dan bekas Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan dua lantikan baru hari ini, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Sabah, Datuk Aidi Moktar dan Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Sarawak, Dr Abdul Rahman Junaidi.

Lihat Komen