Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar menjaga adab dan tatatertib ketika berbahas serta tidak menjadikan persidangan seperti "sarkas".
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru hari ini.
"Saya harap speaker dewan akan menjalankan tugasnya dengan cekap dan tegas bagi memastikan perbahasan dibuat dengan berhemah dan teratur.
"Sekiranya ada ahli-ahli dewan yang bertindak melampaui batas dan melanggar peraturan yang telah ditetapkan, maka arahkan mereka keluar dari dewan ini," titah baginda.
Dalam titah itu juga, baginda berpesan kepada barisan pimpinan baru kerajaan negeri tidak terpengaruh 'desakan luar' yang tidak tahu sejarah dan pentadbiran negeri dalam membuat keputusan.
"Saya juga ingin mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati apabila membuat keputusan dan tidak terpengaruh dengan kata-kata atau desakan orang luar yang tidak tahu tentang sejarah dan cara pentadbiran negeri Johor.
"Baca dan fahami setiap perkara yang terkandung di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan 1895, yang telah menjadi asas kepada pembentukan dan kemajuan negeri Johor sehingga ke hari ini," titah baginda.
Selain itu, baginda berpesan kepada kerajaan agar mengawal perbelanjaan supaya tidak melebihi hasil pendapatan diterima dan berusaha mencapai lebihan hasil atau ‘surplus’.
“Perkara utama yang suka saya tekankan adalah tentang pengurusan kewangan kerajaan yang cekap dan berhemah, suka saya ingatkan supaya kerajaan mengawal perbelanjaan supaya tidak melebihi hasil pendapatan yang diterima.
“Kerajaan negeri juga perlu berusaha untuk mendapatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan persekutuan bagi mengurangkan beban kewangan negeri.
“Kerajaan juga hendaklah mengekalkan prestasi kemajuan ekonomi negeri yang tinggi dengan menggalakkan pelaburan berterusan dari dalam dan luar negara,” titah Sultan Ibrahim.




