malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan Pulau Pinang arah turunkan gambar LGBT
ADS

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus mengarahkan George Town Festival menurunkan gambar yang menampilkan dua orang aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kerana terdapat aduan daripada pelbagai pihak mengenai hal itu.

Farizan berkata terdapat juga aduan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan beliau memutuskan gambar aktivis LGBT, Nisha Ayub dan Pang Khee Teik dikeluarkan daripada pameran.

Kedua-dua aktivis kecewa dengan tindakan itu, khususnya dalam suasana Malaysia baru, yang mana manifesto pilihan raya Pakatan Harapan berjanji untuk menerima kepelbagaian.

Ditanya jika aduan berkenaan datangnya daripada laman Facebook tempatan yang dikenali dengan kenyataan negatif terhadap kerajaan Pulau Pinang, Farizan berkata, "tidak."

"Saya sendiri melihat pameran itu pada hari Selasa, saya lihat gambar itu dan memberikan arahan kepada pengarah festival Joe Sidek.

"Kami hormat kumpulan itu (LGBT) tetapi bukan memberi publisiti atau mempromosinya," kata Farizan.

Boleh bahas, bukan isu besar

Pada sidang akhbar terdahulu di DUN Pulau Pinang, Farizan berkata hal tersebut bukan isu besar.

"Bagaimanapun, mempromosikan LGBT bukan nilai kami. Kamu boleh membahaskan isu ini di DUN Pulau Pinang," katanya.

Kenyataan beliau selari dengan pengakuan Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa yang menyebut gambar itu diturunkan sesuai dengan pendirian jabatannya mengenai LGBT.

Mujahid juga memberitahu Malaysiakini bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersetuju bahawa sebagai warga negara LGBT tidak wajar didiskriminasikan tetapi menasihati mereka untuk tidak mencabar nilai-nilai kerajaan.

Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada 20 orang personaliti terkenal Malaysia yang gambarnya dipamerkan di pameran seni Stroke dan Stripes oleh jurugambar Mooreyameen Mohamad, yang diadakan di Dewan Sri Pinang dari 4 Ogos hingga 4 September ini.

Menurut Mooreyameen yang bercakap kepada Malaysiakini pagi ini,  Joe berkata kepadanya beliau diarahkan untuk menurunkan karya foto berkenaan.

Joe enggan memberi ulasan mengenai isu itu, yang telah mencetuskan kontroversi terutama dalam komuniti seni.

Lihat Komen