malaysiakini logo
story-image
ADS

TINJAUAN | Isu perkahwinan melibatkan kanak-kanak atau individu bawah umur yang tercetus di Kelantan baru-baru ini dilihat sukar di terima masyarakat umum di negeri itu sendiri.

Tinjauan Malaysiakini di sekitar Kota Bharu mendapati rata-rata penduduk di negeri Serambi Mekah ini tidak bersetuju dengan perkahwinan budak perempuan bawah umur.

Walaupun dari satu segi ia dibenarkan dalam Islam, bagi Mohd Sakhri Ibrahim, 42, pendekatan dalam isu itu juga perlu selari dengan keadaan semasa yang perlu mengambil kira pelbagai aspek.

Katanya, kanak-kanak atau remaja dalam konteks kehidupan di Malaysia kini mempunyai hak untuk melalui kehidupan mereka seperti yang lain.

Jika dinikahi pada usia terlalu muda kata Mohd Sakhri, pasti pengalaman itu tidak akan dialami mereka.

"Kita bukan lagi hidup di zaman 60-an, 70-an tapi zaman sekarang dan setiap orang berhak menghadapi langkah demi langkah dalam hidup.

"Usia kanak-kanak seharusnya diisi dengan pendidikan sama ada ilmu agama atau bidang-bidang lain. Tidak sewajarnya usia mereka dibiarkan terbeban tanggungjawab besar di alam rumah tangga.

"Saya tidak bersetuju dengan perkahwinan bawah umur, dan undang-undang yang tegas perlu dilaksanakan bagi membendung masalah ini daripada berlaku," katanya (gambar) kepada Malaysiakini.

Bulan lalu negara dikejutkan dengan perkahwinan seorang lelaki 41 tahun dengan kanak-kanak 11 tahun di Kelantan.

Ia mencetuskan polemik serta membangkitkan bantahan di kalangan masyarakat sivil mengenai kewajaran ia dilakukan.

Kerajaan kini dalam usaha melarang perkahwinan bawah umur dan meningkatkan had umur kahwin daripada 16 ke 18 tahun.

Bagi Hazalina Hamzah, 33, perkahwinan melibatkan kanak-kanak perlu dicegah daripada menular dalam masyarakat Malaysia.

"Alam perkahwinan bukan perkara main-main. Bayangkan kalau anak kita sendiri dinikahi pada usia terlalu muda. Jadi kita perlu cegah ia daripada berlaku.

"Setiap ibu bapa pastinya mahu melihat anak masing-masing melalui perkembangan terbaik dalam hidup. Mereka perlu diberi peluang meraikan kehidupan sebagai kanak-kanak dan mendapat pendidikan sebelum ke alam lebih dewasa, " katanya yang juga seorang pengusaha butik pakaian.

Bagi Sabariah Jusoh, 40, dia turut berpendapat perkahwinan melibatkan kanak-kanak tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat hari ini.

"Kita sebagai ibu bapa pastinya mahu melihat anak-anak melalui kehidupan bermakna dalam pelbagai aspek.

"Berkahwin dalam usia terlalu awal perlu dielak sama sekali. Perkara ini tidak boleh dibiarkan," katanya.

Kanak-kanak itu naif

Sementara itu, ibu kepada 15 cahaya mata, Rugayah Ali, 64, berkata, mana-mana ibu bapa pastinya mahu melihat anak-anak mampu berdikari sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

"Sekurang-kurangnya biarlah habis sekolah, bekerja dulu.

"Mak cik sendiri takkan benarkan anak kahwin terlalu awal. Sekurang-kurang biar dia habis belajar dan tahu menguruskan hidup, " katanya.

Bagi Khairul Anuar Mat Lazim, 31, perkahwinan bawah umur sangat tidak wajar dan bercanggah dengan keperluan asasi kanak-kanak.

"Keperluan asasi kanak-kanak sepatutnya menuntut ilmu pelajaran, bersekolah seperti kawan-kawan seusia, menikmati zaman keemasan mereka tanpa terikat dengan tanggungjawab yang berat.

"Kita pun sedia maklum kanak-kanak sangat naif untuk buat keputusan yang betul," jelasnya yang juga seorang guru.

Yusnizam Jusoh, 24, pula berpendapat isu perkahwinan kanak-kanak tidak seharusnya berlaku dalam perkembangan dan kemajuan dunia hari ini.

Jelasnya, pihak kerajaan sepatutnya tidak berkompromi dalam menegakkan undang-undang.

"Saya tidak setuju, dalam isu ini kerajaan perlu memainkan peranan dengan tegas, " ujarnya yang juga pelajar universiti tempatan.

Bagi pekerja swasta, Amjad Amran, 24, turut tidak bersetuju walaupun tiada hukum dalam Islam mengenai had umur perkahwinan.

"Tetapi kita perlu sedar kanak-kanak di bawah umur belum faham soal tanggungjawab dalam rumah tangga.

"Justeru, perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak bawah umur tidak sepatutnya digalakkan dan pihak yang berkenaan mestilah menangani isu ini dengan serius," katanya.

Lihat Komen