malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR kata tiada konspirasi di sebalik hubungan dengan IRI
ADS

Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) mempertahankan hubungan kerja mereka dengan International Republican Institute (IRI)d an menjelaskan ia hanya melibatkan sesi latihan kepimpinan dwipartisan.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata IRI sebelum ini mengadakan latihan untuk ahli politik HARAPAN dan juga BN.

"Mereka juga melatih GERAKAN. Semua kegiatan kami dibuat secara telus," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau menafikan hubungan dan sesi latihan itu termasuk pelan terancang untuk menjatuhkan BN seperti yang didakwa dalam laporan Free Malaysia Today hari ini.

"Sebarang (usaha menjatuhkan BN) melalui cara demokratik dan penyertaan dalam pilihan raya.

"Teori konspirasi sepatutnya ditujukan kepada surat yang dihantar kumpulan bawah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak agar CIA membersihkannya daripada sebarang kesalahan," katanya.

Anggota parlimen Permatang Pauh itu merujuk surat oleh Datuk Hasanah Abdul Hamid, bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) bawah Jabatan Perdana Menteri, kepada CIA sebelum PRU ke-14.

Dalam sebuah forum 12 Julai lalu, IRI memberitahu bahawa pihaknya telah cuba "mengukuhkan" parti pembangkang di Malaysia sejak 2002.

Walaupun pertubuhan itu tidak mengambil kredit untuk kekalahan BN, presidennya Daniel Twining berkata kerajaan HARAPAN memberi manfaat kepada Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syd Noh juga mengesahkan kerjasama HARAPAN dengan IRI tetapi ia bukan untuk mempengaruhi politik tempatan.

"Kita ada hubungan dengan banyak pertubuhan seumpamanya termasuk IRI tetapi dalam apa jua keadaan mereka tidak mempengeruhi proses demokrasi.

"Sejak awal, kami sentiasa percaya dengan usaha menentukan takdir sendiri. Tetapi tentulah kita terbuka dengan sebarang pandangan," katanya kepada Malaysiakini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin juga berkata latihan IRI terhad kepada "latihan kepimpinan".

"Mereka datang dan memberi dana kepada sebahagian latihan kepimpinan.

"Biasanya badan antarabangsa ini akan datang dan berhubung dengan parti politik untuk mempromosikan demokrasi yang sihat," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

IRI mempunyai kaitan dengan Parti Republikan dan lembaga pengarahnya - sehinggalah dua hari lalu - dipengerusikan Senator John McCain.

Ia diasaskan sebagai salah satu daripada empat pertubuhan prodemokrasi yang didanai National Endowment for Democracy (NED). NED pula didanai Kongres AS.

Beberapa tahun mutakhir, IRI dituduh melatih pembangkang dan pemimpin rampasan kuasa antaranya di Honduras, Haiti, Cuba, Mesir dan Tunisia.

Lihat Komen