malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kumpulan Republikan: 'Usaha bertahun' di Malaysia berbaloi
Diterbitkan:  Aug 6, 2018 5:55 PM
Dikemaskini: 10:36 AM
ADS

Presiden International Republican Institute (IRI) mendakwa usaha pertubuhannya untuk "mengukuhkan" parti pembangkang di Malaysia sudah berjalan sejak 2002.

Dalam forum anjuran Centre for Strategic and International Studies (CSIS) pada 12 Julai lalu, Daniel Twining memberitahu hadirin bahawa pendekatan kerajaan baru Malaysia dalam urus niaga dengan China akan memberi manfaat kepada Amerika Syarikat (AS).

"Salah satu daripada langkah awal kerajaan baru: Membekukan pelaburan infrastruktur kerana ia telah menemui banyak wang meragukan berlegar dalam sebuah sistem yang korup, tertutup dan tidak bertanggungjawab.

"Ada pembersihan besar terhadap korupsi...ada juga pengaruh luar dalam negara.

"Ia bukan negara pro-Amerika, dan ia mungkin tidak akan menjadi sekutu AS yang sebenar-benarnya. Tetapi (apa yang berlaku) akan memberi manfaat kepada kita. Ini adalah contoh 'usaha jangka panjang' (long game)," katanya.

Twining juga mendakwa dia telah melawat Malaysia selepas pertukaran kerajaan dan meluangkan masa dalam "pejabat perdana menteri".

"Saya melawat dan duduk di sana bersama ramai pemimpin baru kerajaan, kebanyakannya kita pernah bekerjasama sebelum ini.

"Salah seorang yang paling senior memberitahu kami: IRI - anda tidak pernah berputus asa dengan kami di saat kami sedia untuk berputus asa dengan diri sendiri," kata Twining.

Twining bagaimanapun berkata IRI tidak menyumbang dalam perubahan di Malaysia.

"Ia reaksi kepada korupsi, nepotisme dan kronisme. Ia tiada kaitan dengan kita. Ia klimaks yang logik terhadap salah guna kuasa di negara Asia Tenggara yang kaya itu," katanya lagi.

IRI mempunyai kaitan dengan Parti Republikan dan lembaga pengarahnya - sehinggalah dua hari lalu - dipengerusikan Senator John McCain.

Ia diasaskan sebagai salah satu daripada empat pertubuhan prodemokrasi yang didanai National Endowment for Democracy (NED). NED pula didanai Kongres AS.

Beberapa tahun mutakhir, IRI dituduh melatih pembangkang dan pemimpin rampasan kuasa antaranya di Honduras, Haiti, Cuba, Mesir dan Tunisia.

Isu IRI ini timbul di tengah-tengah kontroversi surat CIA, yang mana kerajaan sebelum ini didakwa meminta pertolongan luar.

Berkenaan surat bertarikh empat hari sebelum PRU ke-14 itu, ada pihak yang malah menuduh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan khianat.

Lihat Komen