malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Seseorang ahli politik mesti memutuskan sebarang hubungan dengan aktiviti perniagaan selama mana mereka aktif dalam siasah bagi mengelak wujudnya konflik kepentingan.

Menurut Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, sebagai anggota politik yang menggalas tugas yang mulia, mereka tidak wajar mencampuradukkan dua bidang berkenaan.

"Saya rasa kita perlu jelas, pada minit pertama anda menjadi ahli politik, anda tidak boleh terlibat dengan mana-mana perniagaan. (Jika tidak) akan ada konflik kepentingan.

"Anda boleh menjadi ahli perniagaan, tetapi ketepikan (serahkan) perniagaan itu kepada seseorang yang lain apabila anda menjadi anggota politik.

"Bagaimana anda boleh menjadi anggota politik dan ingin menjalankan perniagaan pada waktu yang sama?" katanya semasa ditemu bual Malaysiakini baru-baru ini.

Beliau yang sering memberikan pandangan secara terus terang sebelum itu ditanya mengenai situasi semasa negara yang kini ditadbir oleh Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mereka banyak berkorban

Ketika ini juga, terdapat di kalangan orang politik - termasuk wakil rakyat - yang mempunyai perniagaan, sama ada secara langsung atau melalui wakil di kalangan anak, saudara-mara serta sahabat handai yang dekat dengan mereka.

Selepas berjaya menawan Putrajaya, (HARAPAN) berhasrat untuk mengkaji semula lantikan politik sebagai anggota lembaga pengarah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Ia bagi memastikan tiada campur tangan politik terhadap syarikat-syarikat terbabit.

Menurut Ameer seseorang yang menjadi ahli politik mereka sebenarnya menggalas tugas yang mulia dan perlu berkorban masa dan tenaga untuk negara.

Justeru katanya dua dunia itu tidak boleh dikendalikan oleh orang yang sama pada masa yang sama.

Selain itu, mengambil contoh situasi di AS, Ameer yang menjalankan perniagaan syarikat rangkaian pasar raya berkata, ahli politik wajar memberikan perniagaan mereka kepada seseorang yang mereka percaya selepas terlibat dalam politik.

"Kalau dah ada perniagaan macam saya, macam mana nak masuk politik. Tapi jika (memang) ada perniagaan, bagi (sementara) pada orang lain atau letakkan pada satu badan pemegang amanah seperti di AS sementara dia berpolitik," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau turut menyokong tindakan sesetengah ahli politik yang mengisytiharkan harta masing-masing, termasuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau perdana menteri.

Katanya langkah itu wajar supaya memberi keyakinan rakyat boleh ditingkatkan.

Pengisytiharan harta itu juga, katanya, penting untuk masyarakat bagi memastikan wang yang diperolehi wakil rakyat memang datang dari sumber yang halal.

Ini kerana, menurut Ameer, kerjaya sebagai orang politik tidak sepatutya menjadikan seseorang itu kaya-raya berbanding menjadi ahli perniagaan.


Baca Bos Mydin: Hutang RM1 trilion menakutkan, tapi...


Sehubungan itu, katanya, jika terdapat mana-mana anggota politik yang mempunyai kekayaan diragui, ia wajar disiasat.

"Anda ada dua buah rumah banglo (sebelum menjadi anggota politik), selepas lima tahun pun masih ada dua rumah itu, cuma ada satu tambahan kereta besar sikit. Itu tak apalah, kita tak marah.

"Ada (anggota politik) yang tidak kaya-raya sebelum ini, bukan satu dosa menjadi kaya, tetapi kerja anda (sebagai anggota politik) tidak boleh menjadi kaya-raya.

"Ahli perniagaan boleh jadi kaya tetapi kalau orang itu profesor contohnya, itu pekerjaan yang mulia, anda tidak boleh ada lima banglo (misalnya) dengan harga RM5 juta.

"Oleh sebab itu, tolonglah, jangan campurkan politik dan perniagaan," katanya.

Siri 2: GST: HARAPAN buat silap besar dalam dunia

  • Wawancara ini turut disertai Al-Abror Mohd Yusuf
Lihat Komen