malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan: Pemilik firma berlian Lubnan dedah detik perkenalan dengan Rosmah
Diterbitkan:  Aug 5, 2018 10:51 PM
Dikemaskini: 2:59 PM
ADS

Peniaga berlian Lubnan Samer Halimeh berkata hubungannya dengan Datin Seri Rosmah Mansor bermula di sebuah acara sosial di Belgravia di London pada 2009.

Menurut Free Malaysia Today, Ketua pegawai eksekutif Samer Halimeh New York itu berkata ketika itu, Rosmah meminta syarikatnya menaja dan mempamerkan barang kemas berlian di sebuah majlis amal di luar negara.

Menurut kenyataan Samer yang dilaporkan Free Malaysia Today, dia berkata syarikatnya kemudian turut membekalkan "barang kemas VIP" untuk pelbagai acara yang dihadiri Rosmah dan Datuk Seri Najib Razak.

Dia berkata acara itu berlangsung di London dan kota-kota lain.

Hubungan mereka kemudian semakin rapat sehingga Samer diundang menghadiri majlis perkahwinan anak pasangan itu, Nooryana Najwa pada 2015, kata laporan itu lagi.

"Sebab itulah pada 2018, kami amat mempercayai hubungan ini sehingga memberikan barang kemas bernilai 11.5 juta pound sterling kepada Rosmah atas dasar 'cuba sebelum beli'.

"Saya rasa ia (barang kemas) dipesan dengan jangkaan pasangan itu memenangi pilihan raya umum 2018," katanya seperti dipetik.

Justeru, kata Samer, dia sedih kerana terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap Rosmah selepas barang kemas yang diberikannya itu telah dirampas oleh polis Malaysia dalam siasatan 1MDB.

"Kami sangat kesal dan sedih kerana terpaksa mengambil tindakan mahkamah terhadap Rosmah dalam keadaan sebegini," katanya seperti dipetik.

Bulan lalu, Samer melalui Global Royalty Trading SAL memfailkan saman terhadap Rosmah untuk mendapatkan semula barang kemas bernilai kira-kira RM60 juta.

Global Royalty merupakan salah satu syarikat bawah Samer Halimeh New York.

Lihat Komen