malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Perkahwinan bawah umur mungkin dilarang sama sekali'
ADS

Undang-undang yang menetapkan lelaki berumur 18 tahun dan perempuan 16 tahun yang ingin berkahwin perlu mendapatkan kebenaran mahkamah serta ketua menteri atau menteri besar mungkin ditiadakan pada masa akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, cadangan itu bagi membuka ruang kepada era baru undang-undang perkahwinan di negara ini iaitu dengan mengharamkan perkahwinan bawah umur.

"Kami mencadangkan pada masa hadapan syarat-syarat ini ditiadakan atau dengan kata lain mengharamkan perkahwinan bawah umur yang ditetapkan oleh undang-undang dan boleh dianggap satu jenayah jika mana-mana warganegara tidak mematuhi had umur.

"Haram itu bukan haram daripada segi hukum (syarak) tapi daripada segi pentadbiran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Trip Silaturrahim Memikat Merbuk dan Tekukor di Tanjung Piandang dekat Parit Buntar, hari ini.

Bagaimanapun, Mujahid mengakui isu perkahwinan bawah umur itu adalah sesuatu yang sensitif kerana ia turut melibatkan adat dalam kalangan masyarakat terutama di Sabah dan Sarawak.

"Di Sabah dan Sarawak ada yang mengahwinkan anak mereka di bawah umur. Dari segi Islam juga ada pandangan kahwin bawah umur itu sesuatu yang harus dengan kata lain tidak boleh kata tidak boleh," katanya.

Menjelas lanjut, Mujahid berkata ulama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar perundangan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengadakan pertemuan setiap bulan bagi membincangkan isu perkahwinan bawah umur mengikut perspektif Islam.

"Perbincangan itu juga adalah untuk melihat sejauh mana tanggungjawab kerajaan boleh campur tangan (dalam perkahwinan bawah umur) untuk kepentingan dan maslahat umum," katanya.

Isu perkahwinan bawah umur timbul selepas seorang lelaki berumur 41 tahun berkahwin dengan seorang budak perempuan berumur 11 tahun di Gua Musang, Kelantan pada Jun lalu.

Contohi langkah MAIS

Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata Rang Undang-undang Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan sebagai antara usaha untuk melindungi semua agama daripada dihina.

"Draf (rang undang-undang) itu perlu dibincangkan dan mendapat kelulusan pejabat Peguam Negara, kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen," katanya.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang bekerjasama Mujahid untuk menaikkan had umur perkahwinan dalam semua undang-undang berkaitan kepada 18 tahun.

Kementerian berkata ini akan melibatkan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) I984, Ordinan Undang-undang Keluarga Islam (Sarawak) 2001, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam setiap Negeri, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, dan undang-undang adat kumpulan etnik di Sarawak.

Kerajaan juga mengalu-alukan pengumuman yang dibuat tepat masanya oleh Majlis Agala Islam Selangor (MAIS) mengenai cadangan menaikkan had umur berkahwin untuk remaja perempuan Islam kepada 18 tahun.

"Inisiatif serupa diharap diterajui oleh semua negeri ke arah penyeragaman had umur minimum untuk berkahwin di Malaysia," kata KPWKM dalam satu kenyataan hari ini.

-Bernama

Lihat Komen