Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Umno memberi amaran kepada anggota Majlis Tertinggi (MT) parti itu Datuk Tajuddin Abdul Rahman kerana mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan kini dikuasai pemimpin Kristian.
Menyifatkan kenyatan itu sebagai liar dan mengarut, beliau berkata Tajuddin telah melakukan "dosa politik" kerana membuat tuduhan tidak berasas iaitu kabinet kini dikuasai pemimpin yang ingin menyebarkan agama Kristian.
"Umno perlu keluarkan surat tunjuk sebab kepada Tajuddin (tentang) mengapa dia tidak patut dibuang daripada parti kerana kenyataan anti-Malaysia yang tidak bertanggungjawab itu.
"Kecuali pemimpin Umno Bn juga setuju dengan kenyataan itu dan mendiamkan diri," katanya yang juga anggota parlimen Iskandar Puteri dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata selepas PRU ke-14 Umno telah menggunakan strategi "bumi hangus" dengan meningkatkan politik perkauman dan agama untuk menimbulkan kebencian dan ketakutan di kalangan masyarakat.
Strategi itu merujuk kepada tindakan merosakkan apa saja yang memberi manfaat kepada seteru, dan pernah digunakan British ketika berundur dari Malaya selepas tewas di tangan Jepun.
Di malam terakhir kempen PRK Sungai Kandis, Tajuddin merujuk kepada video tular yang menunjukkan paderi Kristian meraikan kemenangan HARAPAN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Orang Kristian sudah mengambil alih, take over kuasa Putrajaya dan negeri-negeri yang saya sebut tadi. Betul memang betul. Sekarang ini menteri-menteri, tengok. Lim Guan Eng tu Kristian, Anthony Loke Kristian, Tony Pua Kristian, Hannah Yeoh Kristian," katanya yang juga bekas timbalan menteri.
Beliau juga mendakwa DAP mahu menghapuskan sistem Raja-raja Melayu dan menubuhkan pemerintahan republik.
Menyangkal dakwaan itu, Lim berkata politik cara Tajuddin sudah tiada tempat di Malaysia pada masa ini.
Beliau juga memperbetulkan beberapa kenyataan Tajuddin: "(Tony) Pua dan (Hannah) Yeoh bukan menteri, dan walaupun Pua dan Loke mempunyai nama Kristian, mereka bukan beragama Kristian."