ULASAN | Jika sesuatu parti terlalu besar dan menguasai kerajaan negeri tanpa suara pembangkang yang kuat, kerajaan itu akan menjadi angkuh sehingga suara dan kepentingan rakyat diabaikan.
Keadaan ini sedang berlaku. Kerajaan Selangor sudah mula bertindak menarik balik insentif kebajikan yang dulu diberi. Janji yang dibuat kini dikatakan bukan kitab dan tiada keperluan untuk ditunaikan.
Sebelum pilihan raya, pelbagai janji dihamparkan kepada rakyat. Rakyatlah menjadi keutamaan, rakyat menjadi tunjang kepada perjuangan mereka.
Hari ini, lain yang berlaku. Kerajaan menjadi angkuh sehingga suara dan kepentingan rakyat akan diketepikan. Rakyat tidak dijulang lagi sebagai asas pentadbiran.
Keadaan ini sedang berlaku dan dilalui rakyat. Kerajaan Selangor sudah mula bertindak menarik balik insentif kebajikan yang dulu diberi. Janji yang dimeterai sebagai manifesto kini dikatakan bukan kitab dan tiada keperluan untuk ditunaikan.
Caj air, plastik bakal naik
Dalam dua bulan lepas, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) telah memberi amaran harga air bakal naik, pemberian air percuma sedang dikaji semula untuk dikurangkan dan caj beg plastik bakal dinaikkan lagi.
Dana kerajaan negeri juga digunakan begitu sahaja untuk membeli syarikat air dengan harga berbilion-bilion - iaitu 10 kali ganda lebih dari harga ditawarkan oleh bekas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini - sehingga negeri berhutang dengan kerajaan persekutuan lagi.
Tidak mustahil jika lebih banyak insentif rakyat akan ditarik balik dan langkah yang membebankan rakyat akan dilaksanakan pada masa depan.
Pelbagai alasan juga diberi mengapa pelbagai janji pilihanraya tidak dapat ditepati walhal ketika janji dilaungkan, itulah asas yang mendorong pengundi memilih mereka dan kini mereka diperdaya.
Justeru, rakyat di Sungai Kandis dan Selangor memerlukan pembangkang yang kuat dan seorang wakil rakyat yang berani bersuara dalam memastikan suara rakyat didengari dan hak rakyat Malaysia mengikut perlembagaan, terus dipertahankan.
Ia juga sebagai suara kepada rakyat untuk menuntut segala janji yang dibuat.
Lokman pemimpin berani
Calon Barisan Nasional untuk pilihan raya kecil Sungai Kandis yang akan berlangsung esok ialah saudara Lokman Adam.
Beliau pernah dipecat dari Umno kerana membantah kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999. Sebagai pejuang reformasi, beliau pernah dipenjarakan selama 1,000 hari di bawah akta ISA.
Selepas itu, Lokman dipecat dari parti PKR pula kerana membangkitkan isu penyelewengan dana yang dilakukan oleh kepimpinan PKR.
Lokman yang juga berpendidikan tinggi dengan Ijazah Sarjana (Masters) pengurusan dari Universiti Tun Abdul Razak, terbukti sebagai seorang pejuang berani memperjuangkan kebenaran dan tidak akan berhenti dari mempertahankan keadilan, demi rakyat.
Untuk memastikan suara rakyat tidak dibisukan, kepentingan rakyat tidak diketepikan dan kerajaan negeri dan persekutuan tidak terlepas dari janji yang mereka pahatkan, pilihlah calon Barisan Nasional Lokman Adam.
DATUK SERI NAJIB RAZAK Ialah bekas perdana menteri Malaysia dan anggota parlimen Pekan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.