malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penganggur didakwa miliki 40 gambar, 63 video, dokumen berkait IS
Diterbitkan:  Aug 3, 2018 3:12 PM
Dikemaskini: 7:16 AM
ADS

Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan memiliki 40 gambar, 63 video dan 15 salinan dokumen berkaitan dengan kumpulan pengganas, tahun lepas.

Muhammad Aabid Zarkasi, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Tertuduh didakwa memiliki 39 keping gambar, 13 salinan dokumen dalam bentuk PDF dan 53 video yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas di dalam telefon bimbit miliknya.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu turut mengaku tidak bersalah memiliki sekeping gambar, dua salinan dokumen dalam bentuk PDF dan 10 video berkaitan kumpulan Daesh di dalam sebuah pemacu pena (pendrive) miliknya.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Maju 3, Taman Serai Maju, Bagan Serai, Kerian, Perak Darul Ridzuan, pada 11.05 malam, 8 September 2017.

Pendakwaan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut subseksyen 130JB(1) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan-bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala peguam, Mohd Izhar Ahmad Azmi mewakili tertuduh. Mahkamah menetapkan 6 September untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen