malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kita Lawan: Timb menteri, MP dan bekas aktivis BERSIH dibebaskan
ADS

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan bekas aktivis BERSIH, Mandeep Singh, hari ini dibebaskan oleh mahkamah majistret di Kuala Lumpur berhubung himpunan ‘Kita Lawan’ pada tahun 2015.

Ini adalah kali kedua, semua mereka dilepaskan sebelum mereka didakwa semula.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman membenarkan permohonan untuk pembebasan oleh peguam Vince Tan dan bukan sekadar dilepaskan.

Ini selepas timbalan pendakwa raya (TPP), Noorelynna Hanim Abd Halim memaklumkan kepada majistret bahawa pejabat peguam negara (AGC) telah menerima surat representasi dan bersetuju untuk menggugurkan pertuduhan.

"Setelah meneliti representasi, pihak pendakwaan membuat keputusan untuk menarik balik kes ini," kata Noorelynna.

Sehubungan itu peguam Vince Tan yang mewakili ketiga-tiga OKS memohon mahkamah melepas dan membebaskan kesemua anak guamnya daripada pertuduhan itu dengan alasan pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan.

Ketiga-tiga mereka adalah antara sembilan individu yang didakwa pada September tahun 2015 di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan Kita Lawan antara 28 Februari dan 28 Mac.

Mereka didakwa menyertai protes jalanan itu antaranya bagi tujuan Reformasi dan Bebaskan Anwar dan Bebas Berhimpun Bebas Bersuara.

Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000.

Ketiga-tiga mereka itu didakwa pada 8 Sept 2015, bagaimanapun mereka dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada 28 Ogos 2017 berikutan pendakwaan tidak hadir pada hari itu menyebabkan mahkamah melepas tanpa membebaskan mereka.

Bagaimanapun mereka kemudian didakwa semula atas pertuduhan sama pada 4 Okt 2017 dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen