malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Australia tak berganjak isu Sirul, galak hapus hukuman mati
ADS

PARLIMEN | Menteri Luar Australia Julie Bishop berkata kedudukan negaranya mengenai orang buruan Malaysia, Sirul Azhar Umar adalah mengenai soal prinsip kerana ia melibatkan hukuman mati.

"Kedudukan Australia adalah satu perkara prinsip - kes-kes ekstradisi mengambil kira sama ada hukuman mati akan dikenakan di negara yang memohon (perintah itu) atau tidak," katanya pada sidang akhbar selepas bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen hari ini.

Bishop berkata beliau berbincang tentang hasrat Malaysia yang mempertimbangkan untuk memansuhkan hukuman mati.

"Kami menyokong kuat pemansuhan hukuman mati.

"Kami berada dalam majlis hak asasi manusia (PBB) sekarang dan penghapusan hukuman mati menjadi tunjang advokasi (prinsip) itu," katanya.

Malaysia belum fail ekstradisi

Bagaimanapun, Bishop memaklumkan setakat hari ini Malaysia belum lagi memfailkan permohonan membawa pulang Sirul dari Australia.

"Saya perlu menjelaskan sekali lagi bahawa tidak ada permohonan (dari Malaysia) untuk ekstradisi dalam kes tertentu.

"Dia berada dalam tahanan imigresen. Tiada permohonan untuk ekstradisi oleh kerajaan Malaysia dan yang disahkan oleh Perdana Menteri (Tun) Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini," katanya.

Mahkamah Persekutuan pada tahun 2015 mendapati dua komando polis, Sirul dan Azilah Hadri bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu dari Mongolia dan menjatuhkan hukuman mati pada tahun 2006.

Kedua-duanya pada masa kejadian itu berada di bawah pasukan elit polis Unit Tindakan Khas (UTK) dan merupakan pengawal peribadi kepada timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Altantuya ditembak mati dan mayatnya kemudian diletupkan dengan bahan letupan tentera.

Azilah sedang menunggu hukuman mati tetapi Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan.

Australia mengamalkan prinsip menentang hukuman mati dan tidak memulangkan pelarian yang memohon suaka kerana berhadapan hukuman mati di negara asalnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen