BERITA

Syarikat Mokhzani dapat kontrak TM 5 hari lepas PRU

31 Jul 2018, 3:13 pm

Dikemaskini 2 tahun lepas

A
+
A
-

Opcom Holdings yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mokhzani Mahathir memperoleh kontrak bernilai RM11.16 juta daripada Telekom Malaysia (TM), beberapa hari selepas pilihan raya umum ke-14.

Mokhzani juga merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.

Opcom dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia telah menerima surat penganugerahan kontrak "Rakan Unifi" pada 14 Mei.

Kontrak yang bermula dari 2 Julai tahun ini sehingga 31 Dis 2019, adalah bagi kerja-kerja pemasangan dan pemulihan perkhidmatan Unifi.

"Penganugerahan ini dijangka menyumbang secara positif ke atas pendapatan dan aset bersih Opcom Group untuk tempoh penganugerahan," kata syarikat itu dalam pemfailan Bursa.

Adik Mokhzani iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengasaskan Opcom dan memegang 25 peratus saham syarikat.

Opcom bagaimanapun berkata dalam kenyataannya bahawa "tidak ada pengarah dan pemegang saham utama Opcom dan / atau syarikat subsidiari atau mana-mana orang yang berhubung dengan mereka mempunyai apa-apa kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak (Rakan Unifi)."

Menurut The Star, saham Opcom melonjak 135 peratus sejak Mei dan pada Selasa ditutup 94 sen.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.