malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syed Badli senaraikan 'contoh kronisme, nepotisme' PKR Selangor
Diterbitkan:  Jul 30, 2018 4:48 PM
Dikemaskini: 9:49 AM
ADS

Syed Badli Shah Syed Osman yang meletakkan jawatan sebagai setiausaha Pemuda PKR Selangor minggu lalu hari ini menyenaraikan beberapa contoh "kronisme dan nepotisme" yang didakwa berlaku dalam parti itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Syed Badli mengingatkan bahawa setiap jawatan lantikan politik perlu diteliti dan melalui penilaian berserta merit kriteria tertentu.

"Saya mengambil contoh, beberapa individu yang dilantik menjawat jawatan penting dalam Majlis Sukan Negeri Selangor. Individu-individu tersebut dikaitkan sebagai orang kuat seorang pemimpin kanan negeri.

"Pelantikan ke jawatan tersebut tidak pernah dibincangkan di peringkat ketua-ketua cabang mahupun ke peringkat Biro Politik Pusat. Jauh sekali menerusi proses penilaian merit kepartian.

"Justeru atas penilaian apakah individu-individu terbabit boleh dilantik menduduki agensi kerajaan. Bukankah akhirnya perkara ini boleh disebut sebagai terdapat unsur kronisme?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Syed Badli turut mendakwa Pemuda PKR tidak diberi peluang menamakan calon Penggerak Belia Tempatan (PeBT).

"Sepanjang saya bertugas sebagai setiausaha, kebiasaannya Pemuda PKR Selangor hanya akan dimaklumkan senarai oleh pejabat exco terbabit selepas pelantikan dibuat.

"Bagaimana mereka dilantik dan di atas kriteria apa pelantikan mereka, tidak pernah dimaklumkan," katanya.

Menjadi ahli kurang setahun

Mengulas lanjut, Syed Badli mengulangi dakwaan berhubung pelantikan ahli majlis, yang menurutnya, terdapat individu yang dicalonkan atas dasar mempunyai hubungan "secara terus" dengan beberapa pimpinan utama negeri.

"Misalnya seorang individu yang telah mengangkat sumpah sebagai ahli Majlis pada minggu lalu dikatakan tiada langsung jawatan dalam struktur cabang, dan hanya bekerja sebagai pembantu peribadi kepada seorang menteri.

"Begitu juga seorang lagi individu yang menjawat jawatan sebagai pegawai khas kepada seorang menteri, turut diberikan lagi habuan sebagai ahli majlis kerajaan tempatan.

"Inilah contoh kronisme yang diamalkan segelintir pemimpin," katanya dan menambah bahawa terdapat ketua cabang yang tidak dipanggil oleh panel pemilihan ahli majlis untuk memberikan pandangan.

Dalam kenyataan itu juga, Syed Badli turut menyentuh tahap pendidikan ahli majlis yang dilantik yang menurutnya ada yang "hanya berkelulusan SPM sahaja".

"Malah ada yang hanya sekadar tamat tingkatan tiga. Menjadi ahli PKR kurang setahun dan tidak berjawatan dalam struktur cabang. Turut diangkat sebagai ahli majlis.

"Manakala beberapa pemimpin di peringkat cabang termasuk sejumlah ketua-ketua Pemuda PKR cabang, turut tidak dilantik ke jawatan itu dengan pelbagai alasan.

"Terdapat juga individu yang mempunyai pertalian keluarga dengan pemimpin negeri tertentu, turut diberikan habuan sebagai ahli majlis.

"Individu tersebut kabarnya mempunyai pertalian sebagai "abang ipar" kepada seorang pimpinan utama PKR negeri, telah disambung perkhidmatannya sebagai ahli majlis dan dipindahkan ke majlis lain.

"Zon baru di bawah jagaan individu terbabit pula dikatakan terdapat sebuah projek naik taraf bernilai RM6 juta ringgit. Jika benar dakwaan ini, bermaksud nepotisme berkepentingan sedang diamalkan," katanya.

Lepaskan jawatan untuk jadi sukarelawan

Syed Badli turut menafikan dakwaan bahawa dia meletakkan jawatan kerana tidak terpilih menjadi ahli majlis.

Menyorot 14 tahun penglibatannya dalam PKR, Syed Badli menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas.

"Dakwaan kononnya saya tidak menepati kriteria seperti latar belakang pendidikan, taraf jawatan, pengalaman serta kepakaran adalah tuduhan yang sangat dangkal.

"Saya adalah bekas penjawat awam bertaraf pegawai di sebuah perbadanan. Saya melepaskan jawatan (sebagai penjawat awam) tersebut sebelum pilihan raya umum yang lalu untuk memberikan tumpuan penuh kepada tugas-tugas sukarelawan pilihan raya," katanya.

Terdahulu, selain Syed Badli, dua pemimpin peringkat cabang PKR bagi kawasan Sepang semalam turut tampil mengecam amalan "kronisme dan nepostisme" yang didakwa terjadi di dalam PKR Selangor dalam lantikan ahli majlis.

Pemangku ketua Pemuda PKR cabang Sabak Bernam Abdul Mutalib Ahmad kemudian turut meletakkan jawatan dengan dakwaan serupa dan sebagai "solidariti" kepada rakan-rakannya dalam sayap Pemuda PKR.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bagaimanapun menafikan dakwaan Syed Badli dan menyifatkan pembahagian jawatan lantikan politik di negeri itu dibuat melalui sistem yang "adil dan demokratik" oleh jawatankuasa yang mengambil kira pandangan dan cadangan daripada semua pihak.

Lihat Komen