malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
400 Pesara polis terima pingat jasa pahlawan negara
Diterbitkan:  Jul 29, 2018 6:58 PM
Dikemaskini: 11:01 AM
ADS

Seramai 400 pegawai, anggota dan pesara polis Kontinjen Johor hari ini menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) sebagai tanda penghargaan terhadap jasa, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara terutamanya pada zaman darurat serta mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman komunis.

Majlis penganugerahan PJPN disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan diiringi Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Penerima pingat Saniman Markom, 70, menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan itu sekali gus merasakan khidmat baktinya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 36 tahun amat dihargai.

Bapa kepada lapan anak perempuan itu berkata pengalaman yang paling mencabar pernah ditempuhnya ketika bertugas adalah serbuan pihak komunis ketika sedang melakukan rondaan keselamatan.

"Ketika itu saya berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) antara 1974 dan 1985 di Perak. Saya terpaksa terjun dari lori dan masuk ke dalam longkang sedalam kira-kira sembilan meter.

Geran tahunan RM100,000

“Alhamdulillah, saya tidak cedera, tetapi ada beberapa orang rakan saya cedera, mana tidaknya, peluru dilepaskan berdas-das," katanya yang ditemani isteri, Hasnah Ahmad, 59.

Saniman yang bersara pada 2003 dengan pangkat Sun Inspektor berkata, dengan pelbagai kenangan dan cabaran ditempuhi sepanjang berkhidmat dalam PDRM, ia membuatkan beliau lebih bersemangat mencurah bakti dalam badan beruniform tersebut.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata beliau berharap golongan muda yang berminat untuk menyarung uniform PDRM supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh, ikhlas dan sentiasa menjaga nama baik serta imej PDRM.

"Zaman sekarang yang muda-muda sudah naik pangkat, gaji lepas tamat rekrut pun boleh beli kereta, jadi, bekerjalah dengan baik," katanya yang kudung kaki kanan akibat kencing manis, dua bulan lalu.

Sementara itu, Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan kepada PDRM khususnya kontinjen Johor dengan memberi bantuan menerusi geran tahunan RM100,000 kepada pesara polis selain peruntukan tambahan kepada persatuan PDRM.

Osman berkata, bantuan seperti sara hidup turut diberi kepada pesara, pegawai dan anggota yang berdepan kesusahan.

"Kami (kerajaan negeri) akan beri kerjasama sepenuhnya untuk membantu apatah lagi kepada mereka yang banyak berjasa kepada negara. Persatuan PDRM boleh maklumkan kepada kami dan kami akan salur bantuan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen