malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: Produk FAMA bakal 'terbang' bersama AirAsia
ADS

Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia berminat untuk menggantikan barangan makanan dan minuman yang dijual di dalam pesawat dengan produk tempatan di bawal label Agromas.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, perkara itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd Tan Sri Tony Fernandes dalam satu pertemuan bersama tiga hari lalu.

Katanya dalam pertemuan tersebut, Tony menyatakan sekurang-kurangnya 70 peratus jualan produk makanan udara Air Asia adalah barangan jenama Agromas yang merupakan keluaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Air Asia hendak gantikan jualan udaranya dalam pesawat seperti minuman dan makanan ringan dengan barangan tempatan.

"Tony nyatakan dia mahu supaya hasil pertanian atau industri asas tani dapat diletakkan di Air Asia. Ini peluang penting dan dia (Tony) nyatakan sendiri produk FAMA," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Fiesta Buah, Bunga dan Makanan 2018 (#famafest2018) di Pusat Transformasi Luar Bandar di Gopeng, hari ini.

Menjelas lanjut, Salahuddin berkata FAMA seharusnya merebut peluang tersebut dengan mengambil beberapa inisiatif termasuk daripada aspek pembungkusan.

"FAMA perlu ambil serius perkara ini menerusi penglibatan yang membina. Mutu, jenama kita akan baiki semasa ke semasa," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan mewujudkan satu pasar raya khas untuk memasarkan produk Agromas selain meneroka tempat baru.

Sementara itu, mengulas mengenai #famafest2018, Salahuddin berkata acara yang memasuki tahun kedua penganjuran itu dapat terus dipertingkatkan daripada semasa ke semasa dalam pelbagai aspek.

#Famafest2018 yang berlangsung selama lima hari sejak 26 Julai lalu dari pukul 10 pagi hingga 10 malam antara lain menyediakan 301 menu makanan dan minuman popular, 5,000 spesis orkid dengan menyasarkan 260,000 pengunjung.

-Bernama

Lihat Komen