malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M ulas Khazanah: Kerajaan tak balas dendam
Diterbitkan:  Jul 27, 2018 6:47 PM
Dikemaskini: 10:52 AM
ADS

Pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) bukan di dalam proses membalas dendam, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita tidak menganggap semua terlibat di dalam salahlaku, tetapi pentadbiran ini tidak boleh menerima kesalahan yang jelas dan dibiarkan berterusan," jelas Mahathir dalam suatu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, beliau mengalu-alukan perletakan jawatan pengarah urusan dan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad bagi "membolehkan kerajaan menstruktur semula syarikat tersebut” berdasarkan polisi pentadbiran baru yang sedia ada.

“Perletakan jawatan beramai-ramai ini akan memberi ruang untuk menyusun semula Khazanah kerana polisi kami adalah berlainan dari pentadbiran sebelum ini.

"Kami percaya adalah bagus untuk memberi gaji yang tinggi tetapi kita tidak boleh sentiasa mengikut nilai ukuran pihak swasta.\

Bonus berlandaskan prestasi

"Kita mahu menumpu kepada ganjaran di dalam bentuk bonus yang berlandaskan kepada prestasi kerana ada sesetengah syarikat yang beroperasi pada tahap yang tidak memuaskan,” kata beliau.

Mahathir juga berkata menjadi hak beliau untuk melantik ahli lembaga pengarah baru atau memindah serta menukar mereka.

"Perdana menteri mempunyai hak untuk melantik ahli lembaga pengarah yang baru atau memindahkan mereka ke syarikat lain atau pun mengekalkan sesetengah mereka untuk kesinambungan perjalanan syarikat," maklum beliau lagi.

Semalam, Khazanah mengesahkan ahli lembaga pengarahnya meletakkan jawatan secara beramai-ramai.

Awal bulan ini, Mahathir berkata Khazanah telah menyimpang daripada tujuan asalnya untuk membantu bumiputera.

Pagi ini, dilaporkan Khazanah merupakan salah satu syarikat GLC yang disyorkan untuk diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Lihat Komen