Selain menolak sebarang bentuk keganasan, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini tidak senang dengan penggunaan istilah 'mujahidin' yang bermaksud negatif dalam laporan media tempatan sejak awal bulan ini berhubung pergerakan yang didakwa militan, Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).
Presiden Ahmad Azam Abdul Rahman berkata tafsiran makna yang salah akan memberi kesan kepada kefahaman serta imej Islam itu sendiri.
"Sedangkan jihad (bermakna) berusaha ke arah kecemerlangan - bersungguh-sungguh menggunakan masa, harta dan tenaga untuk mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang kita sertai," katanya, mengulas laporan media yang sering menggambarkan Islam sebagai kumpulan penganut agama yang menakutkan.
Dalam ucap utama sebelum itu di Konvensyen Mahasiswa Nasional anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) hari ini, Ahmad Azam berkata negara Islam telah diburuk-burukkan oleh media tanpa kesempatan memberi penjelasan, menyebabkan Islam itu sentiasa "berada di kandang salah."
Fundamentalis radikal
Konvensyen itu dihadiri oleh 600 peserta, sebahagian besar pelajar dan juga anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ahmad Azam turut menyangkal dakwaan penulis Washington Times Amy Ridenour, seperti dipetik akhbar-akhbar tempatan semalam, dan menyifatkan analisa presiden Pusat Kebangsaan Penyelidikan Dasar Awam itu "tidak mempunyai kredibiliti."
Dengan maksud memberi amaran kepada kerajaan Amerika Syarikat agar berhati-hati menyokong bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ridenour menyebutkan ahli politik itu mengasaskan Abim, sebuah pergerakan yang disifatkan fundamentalis belia Islam untuk mewujudkan kebangkitan semula Islam di Malaysia.
Bekas pemimpin kanan Umno itu juga didakwa mempunyai hubungan akrab dengan golongan fundamentalis radikal Islam. Anwar juga didakwa memberikan sokongan kepada tokoh revolusi Iran, Ayatollah Khomeini, ketika memimpin pertubuhan belia itu antara 1974 hingga 1982.
Dalam artikelnya itu 'Turmoil in Malaysia' yang diterbitkan Rabu lalu, Ridenour juga berpendapat Anwar mengambil sebahagian pendapat Karl Marx dan menggabungkan dengan pemikiran Islam dalam perjuangan politiknya.
Ahmad Azam menyifatkan usaha-usaha itu sebagai berniat jahat untuk menghitamkan pergerakan itu sebagai badan belia yang bertanggungjawab.
"Bilakah kita berulamakan Karl Marx?" katanya, dan menegaskan penulis itu tidak berasas.
Apabila ditanya pengaruh Anwar yang dikatakan menjadi pemangkin kepada gerakan radikal pelajar negara ketika menerajui Abim, Ahmad Azam berkata badan itu mempunyai perlembagaan dan budayanya sendiri.
"Sesiapa yang menjadi pemimpin terikat kepada perlembagaannya," tambah beliau.
Malah, katanya, Abim secara prinsip mengamalkan pendekatan bertahap-tahap dan tiada paksaan dalam beragama.
Pendekatan tidak berpihak
Sementara Presiden PKPIM Asyraf Wajdi Dusuki juga berpendapat, tidak adil mengaitkan semua gerakan berorientasikan Islam sebagai radikal dan berpunca daripada bekas timbalan perdana menteri.
"Islam menekankan kesederhanaan, dan inilah masalahnya dengan media Barat," katanya, mengulas gambaran media Barat mengenai Islam.
Asyraf Wajdi menegaskan, PKPIM mempertahankan prinsip tidak berpihak (non-partisan), seperti sejak penubuhannya 40 tahun lalu, agar boleh menilai sesuatu isu politik secara rasional.
"Ada (pihak) yang sinis terhadap prinsip non-partisan ini dengan menganggap PKPIM sebagai organisasi yang tidak berpendirian kerana tidak menzahirkan sokongan terhadap mana-mana parti politik secara jelas dan nyata," katanya ketika berucap di konvensyen itu.
PKPIM akan terus memegang pendekatan itu walau ada anggapan bahawa ia menghalang pergerakan pelajar menyampaikan aspirasi rakyat dan generasi muda.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian konvensyen itu, Asyraf berkata kemelut dalam masyarakat sekarang telah membentuk faktor kepartian yang tidak sihat.
"Seolah-olah masyarakat itu diberi pilihan sama ada menyokong atau menentang membuta tuli," katanya.
"(Tetapi) jangan langsung tidak boleh membicarakan soal kenegaraan atau seolah-olah perlu menjadi ulat buku (semata-mata)," tambah Asryaf Wajdi.