Cadangan pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) bahawa dasar ekonomi perlu berdasarkan keperluan dan berpandukan asas perkauman dipersoalkan pemimpin pemuda MCA yang bertanya jika polisi itu sampai ke tahap 'memansuhkan sebahagian atau sepenuhnya' sistem kuota Bumiputera.
Dalam suatu kenyataan, Pengerusi Biro Profesional Muda dan Hal Ehwal Pelajar-Pelajar Institut Pengajian Tinggi MCA, Eric Choo Wei Sern berkata cadangan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali untuk mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan 'langkah tepat' dan penting untuk kemajuan negara.
"Pembasmian kemiskinan dan pengukuhan rangkaian perlindungan sosial merupakan beberapa objektif yang dapat dicapai melalui langkah-langkah kewangan berasaskan keperluan. Dengan berbuat demikian, dasar ekonomi yang adil dan berdaya saing melangkaui luar warna kulit dan etnik dapat mempercepatkan pembangunan ekonomi negara ini," kata Choo.
Bagaimanapun, beliau menyeru menteri untuk menjelaskan lebih lanjut dan menjelaskan jika "apa yang dipanggil sebagai layanan adil" kepada semua kumpulan etnik akan merangkumi "penghapusan mutlak atau sebahagian daripada sistem kuota bumiputera, khususnya untuk perumahan, pegangan saham syarikat di bursa dan pengeluaran lesen perniagaan jika ada."
Jawatan dalam GLC
Mengenai pelantikan jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau juga bertanya jika polis berdasarkan keperluan ini akan turut mempertimbangkan pelantikan berasaskan kelayakan merit.
"Ini adalah langkah yang berani, walaupun MCA dan HARAPAN mempunyai pandangan politik yang berbeza, kami sedia bekerjasama dengan kerajaan HARAPAN demi kepentingan bersama rakyat dan pembangunan negara supaya dapat memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia," jelas beliau.
Pada hari Selasa lalu, Azmin menyatakan kerajaan akan mengkaji semula DEB untuk memastikan ia memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia dan dilaksanakan berdasarkan keperluan dan bukan berasaskan kaum.
Beliau berkata Unit Perancang Ekonomi (EPU) ditugaskan untuk mengkaji semula dasar berkenaan.
Bagaimanapun, Azmin menegaskan walaupun kerajaan melakukan kajian semula, keperluan dan hak bumiputera tidak akan diabaikan.
DEB dirangka selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei untuk mewujudkan perpaduan negara dengan merapatkan jurang ekonomi, sosial, kebudayaan dan lain-lain perbezaan di kalangan pelbagai kaum yang majmuk.
Namun, DEB berhadapan dakwaan diskriminasi kaum memandangkan tindakan afirmatif yang digariskan di dalam pelan itu hanya bertumpu kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera.
Sementara itu, MEB diperkenalkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2010 untuk menggandakan pendapatan per kapita di Malaysia menjelang tahun 2020.