Orang ramai melihat soal kehadiran anggota parlimen ke sesi perbahasan Parlimen sebagai perkara penting.
Tinjauan Malaysiakini di Shah Alam Selangor, mendapati rata-rata yang ditemui setuju dengan cadangan pemotongan elaun terhadap anggota parlimen yang tidak hadir ke sidang itu, namun ia mestilah berdasarkan syarat tertentu.
Antaranya ia perlu mengambil kira pencapaian anggota parlimen itu atau sama ada mereka mempunyai sebab tertentu untuk tidak hadir.
Faizal Sharif, 33, berkata cadangan itu dapat mendisiplinkan wakil rakyat di negara ini.
"Penting untuk mereka bawa suara rakyat di parlimen. Mereka perlu bawa segala janji mereka kepada rakyat sebelum ini untuk disuarakan kepada kerajaan.
"(Pemotongan elaun) boleh mendisiplinkan mereka. Bagus jika cadangan itu dilaksanakan," katanya (gambar) yang bekerja sebagai penjawat awam.

Nik Mohammad pula berkata pencapaian seseorang anggota parlimen itu perlu juga diambil kira dalam soal pemotongan elaun.
"Petunjuk Prestasi Utama (KPI) wakil rakyat bukan sekadar hadir ke parlimen saja, banyak tugas yang mereka perlu lunaskan. Jika perbahasan di dewan tidak terlalu melibatkan mereka, boleh saja jalankan tugas lain di luar," katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.
Beliau menegaskan pemotongan elaun perlu dikenakan terhadap mereka yang benar-benar culas sahaja.
"Jika tidak mereka perlu diberi elaun untuk buat kerja, takut nanti kerja tak jalan pula," katanya.
Cadangan itu ditimbulkan bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim pada 24 Julai lalu selepas sidang Dewan Rakyat sehari sebelumnya terpaksa ditangguhkan kira-kira enam minit kerana tidak cukup korum iaitu minimum 26 anggota parlimen.
Selain pemotongan elaun, beliau juga menggesa nama mereka yang tidak hadir disiarkan di akhbar dan media sosial.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub setuju dengan cadangan itu tetapi berkata ia mestilah hanya melibatkan anggota parlimen yang tiada alasan kukuh untuk tidak hadir.
Penjawat awam, Yuhanis Mohd Yunan, 34, pula kecewa dengan keadaan itu kerana baginya seorang wakil rakyat "tidak boleh suka-suka" untuk tidak menghadiri perbahasan.
"Mereka sudah dipilih untuk mewakili kita untuk suarakan masalah dan keperluan rakyat," katanya (gambar).

Shamsiah Abdullah, 39, pula membangkitkan soal tanggungjawab dan elaun tinggi yang diberikan kepada anggota parlimen untuk melaksanakannya.
Jadi, katanya lagi, ia haruslah dilaksanakan sebaik mungkin.
"Elaun diberi atas perkhidmatan mereka, jadi mereka perlu menunaikan berdasarkan tanggungjawab itu," katanya yang juga seorang penjawat awam.
Hari ini menteri undang-undang Liew Vui Keong menjelaskan kelewatan anggota parlimen HARAPAN untuk masuk ke Dewan Rakyat pada 24 Julai itu kerana mereka menghadiri taklimat.

“Kebanyakan MP (anggota Parlimen) HARAPAN semasa itu memang di dalam Bangunan Parlimen, cuma mereka terlambat masuk kerana menghadiri satu taklimat. Persidangan pun telah bersambung 2.36 petang, cuma lewat enam minit sahaja,” katanya.
Justeru beliau tidak setuju dengan cadangan pemotongan elaun itu kerana ramai anggota parlimen baru yang belum biasa dengan peraturan Dewan Rakyat.
Beliau bagaimanapun berkata kabinet ada membincangkan berhubung tindakan yang boleh diambil jika ia berterusan.
Ini merupakan kali kedua insiden kehadiran di Dewan Rakyat dibangkitkan.
Insiden pertama disuarakan anggota parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan pada 18 Julai lalu apabila semua menteri dan timbalan menteri tiada di dewan pada sebelah petang kerana menghadiri mesyuarat kabinet.
Sehubungan itu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan mesyuarat kabinet akan diadakan pada hari Jumaat ketika Dewan Rakyat bersidang.

