malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Royalti minyak: DAP Sabah gesa HARAPAN tunai janji 20% dari hasil, bukan keuntungan
ADS

DAP Sabah menggesa Pakatan harapan (HARAPAN) menunaikan janji pilihan raya mereka dengan memberi 20 peratus royalti minyak berdasarkan hasil dan bukannya keuntungan bersih.

Anggota Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata demikian selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan HARAPAN akan memberikan royalti 20 peratus royalti minyak berdasarkan keuntungan bersih.

"DAP Sabah akan kekal dengan manifesto asal, yang berjanji untuk meningkatkan royalti petroleum kepada 20 peratus atau yang seumpamanya," Chan ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

"Walaupun ada yang kata Buku Harapan bukan 'kitab suci' dan kerajaan tidak perlu terikan, kita tidak boleh laksanakan sesuatu hal sesuka hati.

"Kami akan tuntut agenda kami mengikut cara yang betul. Kami menjangkakan menteri Sabah akan membangkitkan isu ini (di mesyuarat kabinet)," katanya.

Chan turut menggesa jawatankuasa khas yang mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 ditubuhkan secepat mungkin bagi menangani isu royalti minyak.

Penubuhan jawatankuasa itu merupakan salah satu janji HARAPAN yang perlu ditubuhkan dalam tempoh 100 hari di Putrajaya.

Jelas Chan, kerajaan boleh menentukan mekanisme royalti minyak selepas jawatankuasa yang ditubuhkan itu membincangkan perkara berkenaan.

Chan bagaimanapun berkata beliau memahami kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan persekutuan dan menerima jumlah royalti yang lebih sedikit di peringkat permulaan.

Selain Sabah, tiga negeri pengeluar minyak - Sarawak, Kelantan dan Terengganu - juga dijanjikan 20 peratus royalti daripada penghasilan minyak.

Sebelum ini, kerajaan di bawah pentadbiran minyak memberikan lima peratus royalti minyak berdasarkan penghasilan kepada Sabah dan Sarawak, sementara Terengganu dan Kelantan hanya menerima 'wang ehsan' selepas pilihan raya 1999.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan akan "menunaikan janji" dengan memberi 20 peratus royalti minyak berdasarkan keuntungan dan bukannya penghasilan seperti yang dinyatakan dalam manifesto mereka.

Sementara itu, Azmin hari ini menegaskan bahawa kerajaan tidak mampu membayar jumlah royalti minyak sebanyak 20 peratus berdasarkan penghasilan dan mendakwa Petronas akan berhenti beroperasi jika bayaran seperti itu dilaksanakan.

Sementara itu, Anggota Parlimen BN Beluran, Ronald Kiandee berkata janji royalti minyak 20 peratus hanyalah retorik politik yang tidak mampu ditunaikan.

"Kini mereka kata Petronas tak boleh bayar. Mereka tiba-tiba pandai berfikir,

"BN konsisten dengan isu ini (lima peratus royalti minyak berdasarkan penghasilan), saya gembira apabila kerajaan ketika ini juga memberi kenyataan sama. Ia umpama HARAPAN mengiktiraf dasar kerajaan sebelum ini berhubung isu royalti minyak," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen