malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM nafi tarik balik pertuduhan rasuah terhadap Lim
Diterbitkan:  Jul 25, 2018 6:23 PM
Dikemaskini: 10:48 AM
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan menarik balik dua pertuduhan rasuah Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"SPRM tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan perkara seumpama itu bagi mana-mana kes pendakwaan, sebaliknya ia tertakluk kepada kuasa pejabat peguam negara," kata SPRM dalam kenyataan.

Lim dihadapkan dua tuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah dan pembelian banglo di Pulau Pinang ketika menjadi ketua menteri negeri itu.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapat keuntungan bagi diri dan isterinya dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan perumahan awam syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Tuduhan kedua pula berhubung menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan satu lot tanah dan sebuah banglo di No 25, Jalan Pinhorn, George Town pada 2015 dengan harga yang lebih rendah daripada nilai pasaran.

Lim tidak mengaku bersalah untuk kedua-dua tuduhan itu.

Pada 21 Mei lalu, perbicaraan kes itu ditangguhkan selepas Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon mahu representasi baru daripada peguam negara baru yang menggantikan Tan Sri Apandi Ali.

Lihat Komen