malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MAHB dakwa AirAsia dapat manfaat insentif RM376 juta
ADS

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menegaskan yang kumpulan AirAsia telah mendapat faedah bernilai RM376 juta daripada pelbagai program insentifnya sehingga tahun lepas.

"Walaupun AirAsia, menjadi pemacu utama untuk pertumbuhan ini (penerbangan kos rendah), kerajaan Malaysia bersama MAHB mempunyai peranan penting sebagai pemboleh dan menyokong sepenuhnya penerbangan kos rendah untuk faedah semua rakyat Malaysia.

"Ini bukan hanya menekankan komitmen dan sokongan kami untuk penerbangan murah, tetapi lebih kepada keyakinan bahawa ini akan membawa kita kepada pertumbuhan permintaan perjalanan udara yang lebih tinggi," kata pengendali lapangan terbang tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

MAHB berkata, ia bukan sahaja menyediakan infrastruktur tetapi juga pelbagai program insentif sejak 2002 yang memberi manfaat kepada AirAsia.

Insentif itu termasuk Program Sokongan Infansi (2002-2007) dan Program Insentif Yang Dipertingkatkan (2007-2009) yang diberikan eksklusif kepada AirAsia, katanya.

Selepas itu, MAHB melaksanakan tiga program insentif lain seperti Pelan Pemulihan Syarikat Penerbangan untuk membantu syarikat penerbangan untuk pulih daripada krisis kewangan global antara 2009 dan 2011.

"Sehingga 2017, kumpulan AirAsia telah mendapat manfaat sebanyak RM376 juta daripada program insentif terbabit, selaras dengan pertumbuhan yang signifikan yang telah dinikmati oleh syarikat penerbangan tersebut," katanya.

Penerbangan kos rendah dijangka meningkat

MAHB berkata, penerbangan kos rendah menyumbang masing-masing 25 peratus dan 50 peratus daripada keseluruhan penerbangan di Asia dan Malaysia dan peratusan ini dijangka meningkat.

"Kumpulan AirAsia, sebagai pengendali penerbangan kos rendah utama negara telah mengalami kadar pertumbuhan kompaun tahunan sebanyak 11.6 peratus sepanjang dekad yang lalu," katanya.

Ia menggambarkan KLIA2 sebagai "perwujudan muktamad pendekatan pro-pertumbuhan MAHB" untuk menyokong dan membolehkan pertumbuhan penerbangan kos rendah negara.

Dalam membangunkan terminal itu, syarikat tersebut berkata, ia bukan sahaja mengambil kira evolusi penting model perniagaan syarikat penerbangan kos rendah tetapi juga memenuhi sebarang perubahan yang yang mungkin berlaku dalam beberapa dekad akan datang.

"Sebarang infrastruktur baru lapangan terbang harus kekal dalam reka bentuk dan keupayaannya untuk memastikan ia dapat memenuhi pelbagai model perniagaan syarikat penerbangan yang sentiasa berubah agar dapat memenuhi pertumbuhan jangka panjang dan memenuhi keperluan semua pihak yang berkepentingan secara berkesan," tambahnya.

Tahun lepas, AirAsia menafikan dakwaan MAHB bahawa ia menerima layanan istimewa atau insentif khusus daripada pengendali lapangan terbang berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen