malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Patriot adu penulis surat CIA kepada polis
ADS

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menuntut bekas ketua pengarah, bahagian penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab Hamid supaya menjelaskan suratnya kepada CIA.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata Hasanah melakukan kesalahan serius dengan menjemput pihak luar untuk campur tangan dalam hal dalaman negara.

“Hasanah telah lakukan jenayah yang amat berat... (tindakannya) boleh ganggu kedaulatan negara...

(Ini) pengkhianatan kepada negara. Kenapa dia sanggup jemput kuasa luar mencampuri urusan dalaman negara?

“Apa bentuk pertolongan yang diberikan oleh CIA jika direstui suratnya... akhirnya kita akan tunduk pada arahan dan telunjuk mereka,” kata Mohamed Arshad pada sidang akhbar di pejabat Patriot di Subang Jaya, hari ini.

Beliau berkata, Patriot berasa hairan mengapa Hasanah diamanahkan dengan satu tanggungjawab yang amat berat, iaitu bagi mengawasi keselamatan dan kepentingan negara.

Beliau turut memohon agar pihak berkuasa segera melakukan siasatan terhadap bekas ketua pengarah itu kerana tindakan seperti ini seolah-olah mahu mendapatkan restu daripada CIA dan kerajaan Amerika Syarikat.

"Kita tahu corak dan helah yang ada pada CIA yang boleh mempengaruhi kerajaan mengikut acuan dan kehendak mereka," katanya.

Mohamed Arshad sebelum itu membuat laporan polis terhadap bekas ketua pengarah bahagian penyelidikan JPM itu di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, hari ini.

Patriot juga mempersoalkan kesetiaan Hasanah kepada negara dengan menulis surat itu dan bertanya sama ada beliau di bawah arahan pihak tertentu.

“Di mana letaknya kesetiaannya kepada negara? Adakah beliau tulis surat tu atas arahan pihak tertentu? Adakah beliau dapat imbuhan?

“Adakah beliau tulis surat itu atas ugutan? Apa yang beliau maksudkan bila dia kata Tun Dr Mahathir Momad anti-Barat dan anti-Semite?

“Apa perlunya beliau burukkan Mahathir,” soalnya sambil menambah bahawa tuduhan itu boleh menjejaskan komuniti perniagaan antarabangsa.

Malaysiakini, sebelum ini melaporkan lima hari sebelum pilihan raya umum 9 Mei, bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri yang disebut sebagai unit risikan telah menulis surat kepada pengarah CIA, Gina Haspel.

Surat tiga halaman yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka memenangi pilihan raya dengan hanya undi secukupnya untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, surat itu meminta AS menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Najib walaupun cuma menang dengan 'majoriti mudah atau hanya satu kerusi'.

Surat itu dilaporkan ditandatangani oleh Hasanah, yang ketika itu adalah ketua pengarah bahagian penyelidikan.

Ia turut menyebut Mahathir yang berusia 93 tahun pada masa lalu merupakan seorang yang "anti-Barat, anti semitik, kuku besi dan mendiamkan kritikan melalui kekerasan, tidak mempedulikan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang."

Sebaliknya, surat itu mengatakan sepanjang sembilan tahun pentadbiran Najib, beliau menunjukkan rekod yang baik bukan sahaja dasar asing yang progresif tetapi juga menyumbang kepada keselamatan melalui penglibatan aktif dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini .

Najib menafikan mengetahui tentang surat itu, berkata: "Saya terkejut. Saya tidak tahu pun kewujudannya. Bukan semua surat kena lalu saya."

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Choo Lily mengesahkan laporan polis yang dibuat oleh Patriot.

Surat tiga halaman bertarikh 4 Mei itu dikatakan ditandatangani Hasanah dan diutuskan kepada Gina Haspel selaku Pengarah CIA (Lantikan) ketika itu, lima hari sebelum PRU14.

Menerusi surat terbabit, Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan JPM meminta Amerika terus menyokong pentadbiran Najib jika BN menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam PRU.

Lihat Komen