malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M nak ajak pelabur China buat projek dengan sumber tempatan
ADS

Meski pun sebelum ini dilihat meragui kehadiran pelabur China di negara ini, Pakatan Harapan tetap membuka pintu kepada golongan terbabit selepas membentuk kerajaan.

Kata perdana menteri kerajaan akan menjemput syarikat-syarikat dari China untuk terus melabur di negara ini namun dasar itu tetap mempunyai perbezaan berbanding pendekatan BN.

Kata Tun Dr Mahathir Mohamad pelabur China sentiasa dialu-alukan dengan syarat tenaga kerja serta sumber untuk melaksanakan projek itu mestilah produk tempatan.

"Setahu saya, kita akan menjemput syarikat-syarikat China untuk melabur di negara ini (tetapi) dengan menggunakan sumber dan tenaga pekerja Malaysia," katanya.

Dr Mahathir ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) di Petaling Jaya, hari ini.

Kata beliau perkara itu akan dibincangkan dalam lawatannya ke Beijing pada Ogos nanti. Semasa membuat kunjungan tersebut perdana menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi China.

Sebelum ini Dr Mahathir menjadi antara tokoh pembangkang paling lantang mengkritik dasar BN membawa masuk pelabur China ke Malaysia.

Mungkin fake news

Bagaimanapun untuk rekod antara isu utama yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir ketika itu ialah kemasukan sejumlah besar warga China ke negara ini, sama ada sebagai pembeli hartanah atau pekerja sesuatu projek.

Terdahulu pengerusi BERSATU itu ditanya berkaitan agendanya ke China nanti.

Selain itu, kata Dr Mahathir semasa lawatan berkenaan beliau juga akan mengemas kini isu-isu yang dibincangkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin yang lebih awal melawat ke republik tersebut baru-baru ini.

“Daim telah bangkitkan beberapa perkara berkaitan kontrak yang diberi sebelum ini.

"Hakikatnya Malaysia tak ada duit, kita tak mampu (jadi) kita kena kurangkan wang yang kita pinjam. Kalau tak kita akan bankrap,” katanya.

Ketika ditanya adakah lawatan Daim sebelum ini berkaitan penahanan ahli perniagaan Low Taek Jhow atau Jho Low yang sedang diburu berhubung siasatan skandal 1MDB, Dr Mahathir berkata beliau tidak mendapat maklumat berkaitan perkara itu.

“Ada yang lapor dia dah ditahan, saya tak dapat maklumat tu, saya rasa ia mungkin salah satu daripada berita tidak benar (fake news),” katanya.

Lihat Komen