Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai hubungan dengan kumpulan fundamentalis radikal Islam, kata isterinya Dr Azizah Wan Ismail hari ini, menafikan dakwaan seorang penulis Amerika Syarikat.
Seorang penulis akhbar Washington Times dua hari lalu mengingatkan kerajaan kuasa besar itu agar berhati-hati menyokong Anwar selepas "pernah tertipu" oleh kumpulan Islam yang menguasai Iran dan Afghanistan.
"Seorang bekas pemimpin kanan Malaysia (Anwar) yang mempunyai hubungan akrab dengan kumpulan fundamentalis radikal Islam sedang mendapatkan sokongan antarabangsa bagi menumbangkan kerajaan negara itu," kata Amy Ridenour, presiden Pusat Kebangsaan Penyelidikan Dasar Awam.
Ridenour merumuskan, "Amerika Syarikat pernah tertipu di Iran dan Afganistan. Adalah berbahaya untuk ditipu sekali lagi." Tulisan ini dilaporkan dengan meluas di akhbar-akhbar tempatan, termasuk agensi berita nasional Bernama .
Azizah, juga presiden Parti Keadilan Nasional, menyifatkan tulisan ini berniat jahat dan bertujuan menjatuhkan reputasi Anwar agar sokongan antarabangsa terhadapnya berkurang.
"(Tulisan itu) mencampur-adukkan penipuan, maklumat separuh benar dengan beberapa fakta," katanya dalam satu kenyataan.
Ridenour berpendapat Anwar merupakan pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), pergerakan fundamentalis belia Islam bertujuan membawa kebangkitan semula Islam di Malaysia.
Penulis turut mengaitkan kebakaran Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya lewat Jun lalu dan penambahan sokongan ke atas PAS sebagai pemangkin kumpulan radikal pelajar.
Diktator yang kejam
Azizah kemudian menegaskan bekas timbalan perdana menteri itu banyak memperjuangkan rakyat miskin dan perjuangan itu selari dengan Islam serta keadilan sosial ketika menerajui Abim sejak 1970-an, sebelum menyertai Umno pada 1982.
Bagaimanapun, katanya lagi, Anwar pernah ditahan tanpa perbicaraan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1974 walau beliau menggunakan saluran demokrasi untuk menangani rungutan rakyat.
Azizah tidak menafikan Anwar pernah bertemu Ayatollah Khomeini di Iran pada tahun 1979, seperti ditulis Ridenour.
Menurut Azizah, kebangkitan rakyat Iran itu turut diberikan sokongan oleh banyak kumpulan bukan Islam kerana ia berjaya menjatuhkan pemerintah diktator yang kejam.
Presiden Keadilan menafikan pemergiannya ke Amerika Syarikat baru-baru ini telah diatur oleh kumpulan lobi suaminya.
Azizah ke negara itu pada akhir Jun sebagai memenuhi undangan Pertubuhan Islam Amerika Utara (ISNA).
Beliau mempertikaikan tulisan itu yang diterbitkan ketika Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengaitkan kumpulan militan Islam, keganasan dengan parti pembangkang yang sah.
Tulisan Ridenour itu hanya menyebutkan seimbas lalu pencabulan hak asasi yang berlaku di bawah kepimpinan Dr Mahathir.