malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Shahrir dapat sokongan luar biasa di AGM Sapura Energy
ADS

Tan Sri Shahril Shamsuddin mendapat undi luar biasa sebagai lembaga pengarah Sapura Energy Bhd (SEB), pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu, di sebalik usaha beberapa pihak menggerakkan sokongan pelabur institusi untuk mengundi sebaliknya.

Sejumlah 82 peratus pemegang saham mengundi Shahril yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, untuk dilantik sebagai lembaga pengarah.

Adalah dipercayai bahawa, majoriti pelabur institusi berkaitan kerajaan mengundi untuk resolusi itu.

Beberapa pemegang saham melahirkan rasa terkejut bahawa beberapa pelabur institusi mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa mereka tidak akan mengundi yang memihak kepada resolusi itu walaupun proses pengundian sedang berlangsung.

Bercakap kepada Bernama selepas mesyuarat itu, Shahril berkata, beliau percaya sokongan luar biasa itu adalah disebabkan pemegang saham yakin bahawa syarikat berkenaan bergerak pada landasan yang betul.

Sebelum itu, beliau memberi taklimat kepada pemegang saham berhubung strategi menyerang syarikat berkenaan pada empat tahun kebelakangan untuk bergerak ke arah pasaran baharu dan meningkatkan nilai perolehan kontrak.

Seorang pemegang saham berkata bahawa, ramai yang kekal bersama syarikat itu di sebalik harga sahamnya yang menurun berikutan penurunan dalam industri minyak dan gas.

“Ini kerana, kami percaya akan masa depan syarikat ini,” katanya.

Lima lagi resolusi turut dilaksanakan termasuk satu yang memberikan kelulusan kepada lembaga pengarah untuk mengagihkan saham dan menerbitkan saham sekiranya diperlukan tanpa perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa.

SEB ditutup meningkat setengah sen kepada 60 sen di Bursa Malaysia semalam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen