malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Kutipan bakal berkurang, kastam ikrar tangani ketirisan
ADS

Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Datuk T Subromaniam berjanji akan membanteras masalah ketirisan dalam jabatan itu.

Ia sebagai usaha mengurangkan jurang kutipan cukai ekoran pertukaran daripada GST kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), katanya lagi.

Pertukaran itu dijangka menyebabkan kekurangan hasil cukai sebanyak RM22 bilion.

Bercakap di sebuah forum di ibu pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Putrajaya hari ini, Subromaniam berkata beliau mensasarkan jurang itu dikurangkan kepada RM3 bilion, seperti yang dijanjikannya kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini.

"Beliau (Lim) tanya berapa banyak yang hilang akibat ketirisan hasil. saya (beritahu beliau) tetapi tak boleh dedahkan angka di sini.

ADS

"Beliau kemudian minta saya rangka strategi untuk mengurangkan (ketirisan) untuk sedikit sebanyak menampung kehilangan hasil (akibat pertukaran daripada GST kepada SST).

"Saya berjanji dengannya untuk kurangkan jurang kutipan cukai dan dapatkan RM3 bilion dengan (menutup) ketirisan dalam duti import dan eksport," katanya lagi.

Bagaimanapun Subromaniam mengaku bahawa isu integriti yang sudah berlaku sekian lama dalam jabatan itu mengambil masa untuk dibanteras sepenuhnya.

ADS

"Dengan SST pun ada kemungkinan rasuah, begitu juga dengan GST dulu," katanya.

Beliau menyatakan sumber terbesar ketirisan dalam jabatannya adalah penipuan komersial, penyeludupan dan pengelakan cukai.

Antara langkah yang dinyatakannya boleh diambil bagi mengurangkannya adalah penukaran jabatan secara kerap, hukuman berat dan pengurangan peluang untuk melakukan rasuah.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen