malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiada bukti LGBT di Kelantan, kata timbalan MB
ADS

Kerajaan negeri Kelantan tidak akan berkompromi terhadap aktiviti golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) di negeri ini sekiranya terbukti wujud gejala itu, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Katanya, dakwaan bahawa kegiatan itu turut berlaku di Kelantan sehingga kini tidak dapat dibuktikan.

"Kita tidak ada bukti yang jelas, isu itu kita ada dengar tapi tidak ada bukti jelas. Dan tak ada lagi setakat ini orang yang mengaku dia amalkan LGBT di Kelantan," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan membangkitkan isu LGBT yang didakwa turut berlaku di negeri yang digelar serambi Mekah itu.

Malah, mereka juga mendakwa tiada usaha daripada kerajaan negeri untuk membanteras gelaja tersebut.

Sementara itu Mohd Amar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor berkata, jika seseorang terbukti mengamalkan LGBT, tindakan tegas melalui undang-undang akan diambil.

"Setakat ini undang-undang syariah dan sivil tidak membenarkan amalan songsang, cuma dalam konteks hari ini tiada sesiapa yang mengaku dia amalkan LGBT.

"Memang kita tidak diskriminasi dari segi hak, tetapi dalam Islam ada hak yang dibenarkan dan ada yang tidak dibenarkan.

"Untuk LGBT itu bukan hak, secara semulajadi itu bukan hak. Jadi kita tak boleh nak biarkan.

"Sebagai orang Islam kita kena berusaha memperbetulkan keadaan ini," katanya.

Tidak 'semula jadi' seperti kahwin budak

Naib Presiden PAS itu turut mempertahankan pendapatnya bahawa isu LGBT lebih berbahaya berbanding perkahwinan kanak-kanak berumur 11 tahun dengan seorang lelaki berumur 41 tahun baru-baru ini.

"Bila timbul isu kahwin dengan budak 11 tahun saya bandingkan dengan isu LGBT, mana yang lebih bahaya kepada masyarakat dari sudut agama dan moral.

"Bukan bermaksud kita setuju dengan perkahwinan dengan budak 11 tahun, secara peribadi saya pun tak setuju. Tetapi mana yang lebih mudarat kepada masyarakat.

"Kahwin dengan budak umur 11 tahun ini dari segi agama tidak salah, dan tidak bercanggah dengan semulajadi, hukum. Tetapi LGBT ini bercanggah dengan sifat semulajadi, dalam undang-undang sivil pun salah," jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan persekutuan perlu meletakkan keutamaan dalam kehidupan rakyat serta mengambil tindakan serius bagi membendung gejala LGBT.

"Kita bukan nak suruh bergaduh dengan orang yang amalkan LGBT dan jika ada berlaku kita kena kawal dan kerajaan perlu ambil tindakan yang serius.

"Sebab itu kita bawa Islam antaranya untuk memperbetulkan perkara-perkara songsang seperti ini, sebab bila kita balik kepada Islam dan memahami agama dengan betul, kita boleh atasi isu ini.

"Cuma dari segi pelaksanaan kita tengok pada keadaan, dakwah itu penting. Dari segi prinsip kita tidak boleh bertolak ansur. Seks songsang amalan yang salah, dalam Islam sendiri Allah memberi hukuman yang berat kepada golongan ini seperti yang terjadi kepada umat Nabi Luth," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen