malaysiakini logo
story-image
ADS

Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan meluluskan resolusi bagi menggantikan ketua mereka selepas penyandangnya, Roslan Ismail sudah hampir melebihi had umur.

Ketua Pengarah Komunikasi Pemuda HARAPAN negeri, Muhammad Ariff Bashiruddin Muhammad Rusli berkata, ia diluluskan dalam satu mesyuarat khas yang diadakan malam tadi.

"Satu pemilihan juga dijalankan dan jawatankuasa pemuda HARAPAN Kelantan sebulat suara memilih Ketua AMK Negeri Mohd Khairul Amin Ab Rahman sebagai ketua pemuda HARAPAN baru," katanya kepada Malaysiakini.

Muhammad Ariff berkata, perubahan itu diharap akan memperkuatkan struktur organisasi pemuda HARAPAN negeri, apatah lagi mereka kini merupakan gabungan yang mentadbir kerajaan persekutuan.

Ditanya jika akan ada isu berbangkit susulan perubahan itu, beliau menafikannya.

"Tiada isu berbangkit, ini perkara biasa dan kita mengikuti perkembangan di negeri-negeri lain yang melantik ketua HARAPAN di kalangan salah seorang ketua pemuda parti," katanya lagi.

Roslan yang mengetuai pemuda HARAPAN sejak gabungan itu ditubuhkan, berkata beliau menerima keputusan itu.

"Saya sedia maklum, dan saya memberi laluan kepada pengganti untuk meneruskan gerak kerja selepas ini," katanya yang juga anggota jawatankuasa AMK negeri.

Katanya lagi, beliau kini sedang menumpukan perhatian untuk bertanding peringkat cabang pada pemilihan PKR akan datang.

Lihat Komen