malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Ahli politik jangan salahkan media jika sampai maklumat tak tepat'
ADS

Ahli politik dan pemimpin kerajaan tidak sepatutnya menyalahkan laporan media jika mereka sendiri memberikan maklumat yang tidak tepat, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden Parti Amanah Negara itu berkata pemimpin kerajaan dan ahli politik harus memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada media adalah tepat supaya persepsi masyarakat terhadap kerajaan tidak negatif.

"Saya selalu beritahu kepada kawan-kawan saya, kalau kita bercakap mengenai perkara yang kita sendiri tidak tahu, itulah yang mendedahkan kepada salah laporan atau ada ruang orang 'spin' berita atau kenyataan yang kita buat," katanya pada sesi jalinan mesra bersama pengamal media termasuk dari Kelab Media Putrajaya, di Cyberjaya hari ini.

Mahfuz yang baharu mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia pada 2 Julai lepas, bagaimanapun berkata pihak media juga harus berani dalam membuat laporan bagi memastikan pengurusan kerajaan baik dan telus.

Buang ketakutan pada orang politik

"Pihak media mesti buang ketakutan kepada orang politik, mesti berani lapor apa yang dirasakan tidak betul dilakukan orang politik," katanya.

Mahfuz berkata media harus mempunyai kebebasan sendiri selaras dengan konsep pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman yang diamalkan di negara ini, selain menganggap media adalah elemen keempat kepada konsep pemisahan kuasa itu.

"Walaupun ia tidak ditulis di dalam konsep itu, hakikatnya media memainkan peranan bagi memastikan pengurusan kerajaan berjalan dengan betul.

"Tetapi syaratnya media harus melaporkan berita dengan tepat dan betul," katanya.

Untuk itu, katanya media harus melaporkan berita berdasarkan penyiasatan dan mengelak daripada melaporkan berita bersifat khabar angin.

"Barulah berita yang dihasilkan mempunyai kualiti yang tinggi dan sudah tentu ia tidak akan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak," kata Mahfuz.

- Bernama

Lihat Komen