malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M kecewa ramai tak suka idea kereta nasional baru
Diterbitkan:  Jul 16, 2018 11:38 PM
Dikemaskini: 4:17 PM
ADS

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan kekecewaannya apabila ideanya berkenaan projek kereta nasional yang baru kurang mendapat sambutan.

Katanya, beliau diberitahu bahawa orang ramai beranggapan Proton sebagai satu kegagalan dan tidak mahu melihat satu lagi kereta nasional diwujudkan.

"Kita tidak layak dan tidak mampu mempunyai industri automotif. Rakyat Malaysia lebih rela beli kereta import, termasuk dari China. Pilihan mereka ialah kereta Jepun, dan (bagi) yang ada banyak duit kereta Jerman.

"Malaysia menjadi negara pengguna, negara penanam padi, pemancing ikan. Tak mengapalah. Ini yang kita mahu dan ini yang kita dapat.

"Lupakanlah sahaja Wawasan 2020," tulis Mahathir di blognya, hari ini.

Proton yang memulakan operasi pada 1984 hasil daripada buah fikiran Mahathir. Beliau juga mewujudkan dasar perlindungan yang menyebabkan harga kereta import menjadi tinggi.

Tahun lalu, 49.9 peratus saham Proton dijual kepada syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group. DR-Hicom milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary memiliki baki 50.1 peratus.

Mahathir beberapa kali menyebut tentang idea mewujudkan kereta nasional yang baru. Dalam kunjungannya ke Jepun bulan lalu, beliau menyuarakan harapannya agar negara Asean dapat bekerjasama dalam projek itu.

Namun rancangan itu mengundang keraguan pelbagai pihak dan pemerhati.

Pada 15 Jun lalu pula, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau telah memberitahu Mahathir bahawa kerajaan tiada dana untuk memulakan projek itu.

Sebaliknya projek itu perlu disokong oleh sektor swasta, kata Lim.

Dalam tulisannya, Mahathir berkata beliau sendiri tidak bercadang untuk projek itu dilaksanakan kerajaan.

Katanya, ini kerana sektor swasta di negara ini sudah berkebolehan dalam pelbagai aspek termasuk membuat reka bentuk, model ujian serta mengeluarkan kenderaan bermotor secara besar-besaran.

"Tetapi kerana awal-awal lagi kita sudah tolak cadangan kereta nasional kedua, maka kita akan halang segala cadangan untuk mengeluar kereta bermotor oleh swasta.

"Sudah tentu kita tidak akan ada industri automotif milik kerajaan," katanya.

'Maka tertimbuslah Proton'

Beliau mengimbas kembali kereta keluaran Jepun selepas Perang Dunia Kedua yang diremehkan kerana kualiti yang rendah, misalnya strukturnya yang seakan "tin Milo".

Namun katanya, daripada "tin Milo" ia berkembang menjadi gergasi industri automotif seperti Honda, Nissan dan Suzuki, sementara model Eropah seperti Austin dan Morris hilang daripada pasaran.

Beliau berkata ini kerana Jepun dan Korea Selatan menghalang kereta luar diimport dan ia menyebabkan mutu kereta tempatan semakin baik.

"Dan mereka mengeksport bermillion kereta mereka."

Malaysia sebaliknya memilih untuk membenarkan kereta luar bersaing dengan kereta nasional, katanya.

"Dikeluarkan oleh syarikat gergasi, mereka membolot pasaran kereta Malaysia sehingga tertimbuslah Proton.

"Akhirnya Proton dijual kepada orang asing. Tidak ada kereta nasional lagi, tidak ada industri automotif lagi. Pekerja, engineer, pengurus pun tidak punyai kerja lagi. Segala-galanya merosot," katanya lagi.

Lihat Komen