PAS sekali lagi menegaskan parti itu tidak berhasrat bertemu Umno seperti dilaporkan akhbar hari ini dan semalam, sebaliknya berminat berbincang isu-isu semasa dengan pemimpin kerajaan.
Dr Mohd Hatta Md Ramli, setiausaha politik Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Noor, menjelaskan parti itu sebenarnya meminta temujanji dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan bukannya pemimpin Umno.
"Oleh itu, desas-desus mengenai pertemuan (PAS) dengan Umno tidak timbul," katanya. "PAS buat masa ini tidak berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Umno."
Tambah Mohd Hatta, pertemuan dengan Abdullah, yang Timbalan Presiden Umno, dibuat memandangkan kementerian beliau bertanggungjawab dalam isu-isu pengharaman ceramah parti pembangkang, rampasan cakera padat video (VCD) ucapan pemimpin PAS dan penahanan aktivis parti itu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) awal bulan ini.
Beliau menyebut surat berkaitan bertarikh 13 Ogos telah dikirimkan dua hari lalu kepada Abdullah selepas mesyuarat jawatankuasa pusat PAS Ahad lalu mendengar isu-isu tersebut.
Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan Abdullah mengalu-alukan keputusan PAS untuk mengadakan pertemuan itu dan beliau berkata jawatankuasa pengurusan Umno akan melihat kesungguhan parti pembangkang itu sebelum membuat keputusan muktamad.
"Saya sudah baca laporan (akhbar The Star semalam) dan mengambil keputusan supaya perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan (Umno) akan datang," katanya semalam seperti dilaporkan.
Akhbar berbahasa Inggeris itu melaporkan, dengan memetik sumber-sumber dalam parti itu, PAS ingin berbincang "dengan segera" isu-isu semasa seperti perbalahan PAS-DAP tentang isu negara Islam, larangan ceramah, isu larangan penjualan minuman alkohol di Tanah Merah, Kelantan, Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) dan larangan jualan cakera padat video (VCD) ceramah politik.
Laporan itu bertajuk 'PAS usahakan 'rundingan damai'' mengaitkan cadangan mesyuarat itu sebagai kesediaan parti pembangkang itu untuk memberikan "konsesi" (tolak ansur) selepas memberikan pelbagai syarat ketat apabila Umno mempelawa parti itu dan Parti Keadilan Nasional sebelum ini.
Semalam malaysiakini melaporkan Fadzil, yang juga Presiden PAS, bagaimanapun berkata hasrat PAS itu "tidak mempunyai kaitan" dengan cadangan pertemuan perpaduan Melayu seperti diusahakan Umno awal tahun ini.
Pertemuan itu hanya untuk membincangkan larangan ceramah dan bukannya isu-isu lain seperti dilaporkan akhbar itu.