malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN |  PAS berpandangan pemilihan Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YDP) Datuk Mohamad Ariff Yusof pagi ini tidak memenuhi Peraturan Mesyuarat 4(1) yang mensyaratkan pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat "dengan bersurat sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum hari mesyuarat".

Hal ini kerana kenyataan media oleh beberapa pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) termasuk Menteri-menteri menunjukkan pada 2 Julai iaitu 14 hari sebelum sidang hari ini tiada keputusan lagi di pihak kerajaan PH untuk menamakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Pada 6 Julai 2018, Tan Sri Rais Yatim menyatakan kesediaan untuk menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Kemudian pada 8 Julai, Malaysiakini melaporkan bahawa Datuk Saifuddin Abdullah selaku Setiausaha Sekretariat HARAPAN menyatakan cadangan YDP baru sahaja disenarai pendek dan setiap parti komponen HARAPAN telah mencadangkan calon masing-masing.

'Keabsahan sidang dewan'

Pada 10 Julai pula Wan Azizah dalam (laporan) Malaysiakini menyatakan bahawa semalam pemimpin HARAPAN telah memuktamadkan satu nama bagi jawatan tersebut.

Pada 11 Julai pula NSTP melaporkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, menolak tawaran jawatan speaker Dewan Rakyat dan turut memaklumkan perkara itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ia menunjukkan bahawa cadangan Yang di-Pertua Dewan Rakyat belum dimuktamadkan oleh Pakatan Harapan pada 11 Julai.

Walaupun Setiausaha Dewan Rakyat ketika berucap menyebut bahawa cadangan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dihantar secara bertulis pada 2 Julai 2018, namun ia tidak disokong oleh fakta-fakta kenyataan menteri-menteri dalam isu terbabit.

PAS menegaskan bahawa peraturan mesyuarat Dewan Rakyat perlu dipatuhi apatah lagi melibatkan pemilihan YDP kerana ia melibatkan keabsahan sidang Dewan Rakyat untuk seterusnya.

Pakatan Harapan perlu menonjolkan contoh permulaan yang baik di awal sidang Dewan Rakyat sebagai memenuhi tuntutan mereka selama menjadi pembangkang sebelum ini agar kerajaan mengikut segala peraturan mesyuarat.

Berdasarkan asas ini para anggota Parlimen PAS mengambil tindakan keluar dari Dewan Rakyat pada awal sesi pemilihan YDP sebagai tanda protes dan seterusnya mengadakan sidang media menjelaskan sikap PAS dalam isu tersebut.

 


DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ialah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS merangkap Anggota Parlimen Kuala Nerus.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen