Pendakwaan dalam kes hasutan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarsa Rasiah semasa perhimpunan Kita Lawan memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa pihaknya akan bertemu dengan Peguam Negara Tommy Thomas untuk sesi taklimat mengenai pertuduhan ini.
Timbalan Pendakwaraya Faizah Ismail dan Hanim Rashid memberitahu hakim mahkamah Gan Chee Keong mereka sedang menunggu keputusan taklimat tersebut sementara menunggu semakan semula pertuduhan oleh Thomas.
Peguam N Surendran dan Latheefa Koya memberitahu Gan, anak guam mereka tidak dapat datang ke mahkamah kerana sedang menghadiri istiadat angkat sumpah di Parlimen.
Susulan itu, Gan membenarkan perbicaraan yang dijadualkan berlangsung hari ini ditunda ke 30 Julai sementara menunggu keputusan sesi taklimat dengan peguam negara.
Sivarasa dikenakan pertuduhan hasutan atas ucapannya semasa perhimpunan Kita Lawan pada 2015.
Anggota Parlimen Sungai Buloh itu dikatakan telah memberikan pendapat mengenai badan kehakiman berikutan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat II.
Sivarasa didakwa pada 20 Oktober 2015 dan jika sabit kesalahan beliau berhadapan hukuman denda maksimum RM5000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.
Dilaporkan minggu lalu di Mahkamah Rayuan dalam kes Surendran bahawa Jabatan Peguam Negara sedang menyemak semula kes-kes tertuduh yang dibicarakan di bawah akta hasutan.