malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Malam itu Dewan Bahasa dan Pustaka 'terbakar'
ADS

ULASAN | Malam itu dewan dingin di tingkat satu mula sedikit hangat. Kerusi sudah penuh diisi. Susuk tubuh yang hadir pula rencam sifatnya. Ada berbatik, ada berkemeja dan ada berbaju T.

Ada kasut berkilat, ada berkasut sukan dan ada juga berselipar.

Malam itu ialah malam pecah panggung kerana ia merupakan kali pertama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (HARAPAN) menganjurkan program forum terbuka yang dibarisi panelis yang tidak sehaluan dengan badan itu.

Kecuali Eddin Khoo yang masih menganggap DBP sangat akrab dengannya, Hishamuddin Rais dan Dinsman - serta saya sendiri - ialah susuk aktivis politik dan budaya HARAPAN yang berada dalam kelompok yang sama.

Saya dipertanggungjawabkan sebagai pemudah cara oleh penganjur.

Kami tidak sempat berbincang sebelum majlis bermula. Beberapa soalan hanya bersarang dalam kotak fikiran saya saja. DBP selaku penganjur pula tidak meletakkan sebarang format. Biarlah forum ini berlangsung seadanya. Tidak perlu skema. Yang penting, semua keluarkan idea.

Inilah kebebasan DBP pada malam itu.

DBP membiarkan kami bercakap sebebas-bebasnya. Ini satu keadaan yang sangat luar biasa dalam sebuah jabatan kerajaan yang biasanya terikat ketat dengan prosedur, protokol peraturan yang kadang-kadang tidak bertulis pun.

Terhambur dalam DBP

Isham Rais - begitu orang ramai mengenalinya - memulakan bicara. Biar dia memecah tembuni. Untuk pusingan pertama, panelis diberikan masa 15 minit untuk mengemukakan idea awal masing-masing.

Saya cuma mengharapkan malam itu Isham tidak mencarut di dewan berkenaan. (Memang sehingga ke sudah, dia tidak mencarut.)

Hampir seluruh naratif penganut Marxism itu ialah membakar DBP. Bersemangat dengan api. Isham mendakwa, golongan kirilah yang mengasaskan dan menghidupkan DBP sejak awal.

Katanya DBP lahir dari perut sosialisme dan kiri. Nama-nama seperti Usman Awang, Keris Mas, Arenawati adalah penulis berjiwa kiri. Nyata Isham cuba mendakyah fikrah kirinya pada malam itu.

Tiada berselindung dalam memperkatakan sesuatu pada DBP di hadapan ketua pengarah dan kakitangannya. Dan kata-kata itu dihambur di dalam bangunan DBP sendiri.

Kami diundang seperti untuk membedah segala malapetaka bahasa yang berlaku di dalam dan di luar DBP. Setiap kritikan keras Isham terhadap DBP disambut dengan tepukan gemuruh penonton. Nyata Isham berjaya membawa para pengikutnya ke majlis tersebut.

Malam itu, DBP terbakar

Sesekali saya cuba meletakkan diri sebagai moderator yang neutral, tetapi nyata itu satu lakonan yang gagal. Pengalaman saya bersendaloka dengan Isham dan Dinsman di jalan raya atau di padang sebelum ini memudahkan kendalian majlis.

Kekecewaan Dinsman terhadap prestasi DBP diluahkan semahu-mahunya. Dinsman menghuraikan persoalan 'penjajahan bahasa’ yang dianggap sebagai satu tinggalan pemikiran penjajah yang ada hingga ke hari ini.

Pemikiran yang terjajah, kata Dinsman, menghilangkan jati dan kewujudan diri sendiri.

Eddin Khoo pula lebih menekankan soal kajian terhadap budaya tempatan yang diabaikan. Sedangkan, katanya, soal-soal kebudayaan yang melibatkan kearifan setempat merupakan salah satu pencapaian tamadun dan kebudayaan sesuatu masyarakat.

Oleh sebab itu tidak banyak perkara baru yang ingin disampaikan tentang perjuangan bahasa, DBP dan isu-isu yang berkaitan.

Macam hasil kerja orang malas

Idea-idea dalam forum tersebut adalah satu ulangan. Ulangan. Tiada sesuatu yang baru. Diulang tayang mungkin kerana tiada tindakan susulan selepas ditegur.

Berikut adalah beberapa senarai perkara perkara yang diketengahkan pada malam itu:

1. Perjuangan bahasa sepatutnya tidak lagi menuntut hak tetapi lebih kepada pelaksanaan kuasa dan pengaruh yang ada

2: DBP gagal mempertahankan kemampuan dan memperjuangan dasar yang berkaitan kepentingan bahasa kebangsaan

3: DBP dilihat sebagai institusi elit dan banyak terbitannya sukar diperolehi di pasaran terbuka

4: DBP tidak berperanan untuk menghalang nama-nama tempat yang menggunakan ‘bahasa rojak’, tiada nilai tempatan dan menghilangkan identiti tempatan

5: Tiada pencalonan sasterawan untuk hadiah Nobel yang diajukan oleh kerajaan atau DBP sendiri

6: Proses penerbitan buku memakan masa yang panjang dan kerenah birokrasi yang banyak

7: Reka bentuk luaran dan dalaman buku-buku DBP adalah hasil kerja ‘pemalas’. Kedai buku DBP tidak cukup aktif menarik orang ramai untuk ke DBP

8: Pengurusan buku teks perlulah dipisahkan daripada DBP supaya ia boleh menumpukan kerja hakiki

9: Kerja penterjemahan buku-buku ke bahasa Melayu perlu dipergiatkan lagi

10: Istilah Malaysia Baru lebih kepada makna politik berbanding memberi makna terhadap perkembangan budaya, bahasa yang menjadi asas pembinaan negara

Sayangnya tiada wakil DBP untuk mengulas pandangan para panelis walaupun mereka hadir dalam majlis itu. Ini agak janggal. Barangkali dirancang begitu.

Percikan kata-kata daripada panelis ialah api yang membakar semangat perjuangan bahasa dalam era Malaysia Baru. Ia adalah api yang membakar kegagalan lalu bagi mewujudkan budaya kerja yang lebih memberikan sinar baru.

Di sebalik kritikan keras, tajam dan tepat terhadap DBP, semua panelis bersetuju kewujudan dan peranan DBP tetap penting dalam pembinaan sebuah negara.

Kritikan bukan untuk menidakkan peranan DBP tetapi lebih kepada harapan yang tidak boleh dipandang ringan lagi. Suara keberanian yang bangkit pada malam itu adalah satu permulaan kepada perubahan besar dalam kebudayaan negara.

Malam itu, DBP tidaklah rentung, apa lagi hitam legam dikerjakan panelis. Sewajarnya satu tabik kepada DBP yang berani mengorak langkah nekad membenarkan wajah dan tubuh mereka diperlakukan sebegitu demi wajah bahasa negara bangsa ini.

Ia tidak boleh terhenti pada malam itu sahaja. Saya dan rakan-rakan lain tentu ingin melangkah bersama dengan DBP dengan wajah lebih baru, ceria dan cerdas.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen