malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Kritikan terhadap maahad tahfiz bukan perkara baru, dan banyak persepsi negatif sering dilontarkan terhadap institusi itu yang beroperasi di seluruh Malaysia.

Daripada isu pelajar tahfiz mengutip derma, pentadbiran tidak cekap, tiada ketelusan mengurus dana adalah antara isu yang selalu diperkatakan.

Pada awal 1990-an, pusat tahfiz biasanya cuma dibuka di kawasan luar bandar, namun kini pertumbuhannya semakin rancak hingga ke bandar.

Perkembangan itu didorong oleh permintaan ibu bapa yang semakin ramai mahu anak mereka belajar di pusat tahfiz, sama ada di bawah kelolaan kerajaan, organisasi swasta atau milik individu.

Peluang kemasukan yang terhad menedorong ibu bapa menghantar anak mereka ke pusat tahfiz persendirian yang kemasukannya lebih mudah.

Bagaimanapun ada juga sesetengah ibu bapa memilih pusat tahfiz sebagai jalan terakhir selepas gagal mengawal tingkah laku anak masing-masing.

Disebabkan itu, persepsi terhadap sekolah tahfiz serta suasana di institusi itu agak pelbagai.

Permintaan semakin meningkat terhadap pusat tahfiz swasta dari satu sudut adalah positif kerana ia menunjukkan tahap kesedaran orang ramai terhadap ilmu al-Quran bertambah tinggi.

Cara cuci dosa

Dari sudut lain, perlu diakui bahawa terdapat pihak cuba mengambil kesempatan melalui pusat tahfiz untuk kepentingan sendiri.

Terdapat kecenderungan hartawan cuba meraih populariti dan dikenali sebagai dermawan - dan pada masa sama cuba ‘membasuh dosa’ mereka - dengan menubuhkan pusat tahfiz.

Akhirnya, mereka tidak peduli apa yang berlaku dalam pusat tahfiz tersebut, misalnya mengenai kebajikan dan pendidikan pelajarnya.

Selain itu ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab menjadikan pusat tahfiz tidak lebih daripada sekadar ‘tabung derma’ untuk mendapatkan sumbangan daripada kerajaan, organisasi swasta dan masyarakat.

Para pelajar pusat tahfiz pula dilihat sebagai tenaga buruh percuma yang boleh digunakan untuk kepentingan diri sendiri. Anak-anak kecil yang lemah itu dipaksa secara halus untuk 'berjihad’ mengutip derma di jalanan, kononnya bagi menampung perbelanjaan pusat tahfiz.

Akhirnya kanak-kanak terbabit tidak belajar atau mendapat manfaat apa-apa selain bekerja untuk pihak tertentu.

Pusat-pusat tahfiz seperti itulah yang perlu ditutup serta dihalang untuk beroperasi oleh pihak berkuasa.

Pusat tahfiz yang memberikan keseimbangan antara keperluan akhirat dan dunia, serta rohani dan jasmani, sebaliknya perlu diperkasa.

Perkara itu dijelaskan dalam al-Quran: "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi" (al-Qasas : 77).

Menyedari kepentingan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) bagi membina insan yang berperibadi, berkualiti dan profesional.

Sejak pertama kali diperkenalkan di Maktab Rendah Sains Mara, TMUA telah berjaya melahirkan professional yang hafiz.

Melihat kepada potensinya yang sangat besar, program itu diperluas ke empat buah sekolah berasrama penuh (SBP) dan 11 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) di seluruh negara.

Antaranya di Kedah, Kuala Lumpur dan SMA Persekutuan Bentong di Pahang.

Tiada yang menganggur

Di pihak swasta pula kajian dan tinjauan yang dibuat sekumpulan pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) mendapati terdapat usaha di kalangan pengusaha pusat tahfiz swasta untuk memperkasa pelajar-pelajar dengan kemahiran industri.

Di Selangor, misalnya, beberapa sekolah tahfiz sudah mengambil langkah proaktif menjayakan misi itu. Justeru pelajar Maahad Tahfiz al-Quran lil-Muttaqin (Instaqlim) di Semenyih mengusahakan ternakan ikan air tawar dan terbabit dengan Skim Kebajikan Penternakan Sapi.

Pengusaha Maahad Tahfiz Integrasi Vokasional di Gombak pula mendedahkan pelajarnya kepada kemahiran dalam bidang automotif, manakala para pelajar Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bestari di Kuala Sungai Baru, Puchong mengambil kursus jahitan dan kulinari.

Di Perak, Pondok al-Jaafar di Kampung Gunong Panjang, Gopeng berjaya melahirkan usahawan daripada kalangan pelajarnya.

Pondok ini memfokuskan pengajaran hafazan al-Quran dan pembentukan akhlak dan pada masa sama mengusahakan pertanian, penternakan, khidmat membaiki kereta dan aktiviti binaan.

Sejak ditubuhkan 12 tahun lalu, lebih 500 lulusan pondok ini berjaya mempunyai kerjaya sendiri. Tiada seorang pun antara mereka yang menganggur.

Perkembangan mutakhir pula, kolej komuniti muncul sebagai institusi pendidikan kerajaan yang membina hubungan dengan sekolah-sekolah tahfiz dan pondok sebagai sebahagian daripada usaha menggerakkan Program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) bagi memberi pendedahan kemahiran serta vokasional terhadap pelajar tahfiz agar mereka boleh mengimbangkan antara ilmu duniawi (kemahiran dan keusahawanan) dan ukhrawi (fardu ain dan fardu kifayah).

Pelajar tahfiz mutiara negara

Ada sesetengah pihak menganggap pelajar tahfiz mempunyai masa depan yang suram, manakala para pengajarnya dipandang sebagai golongan berpendapatan rendah.

Dalam perkataan lain mereka dianggap tenaga pengajar yang miskin.

Pengalaman penulis semasa berusia awal 20-an dulu menyajikan sesuatu yang berbeza.

“Ish... nanti lepas habis mengaji (belajar tahfiz) hang nak kerja apa? Hang tau dak ustaz yang duk mengajar dekat sekolah tahfiz hujung sana tu, gaji dia RM400 sahaja sebulan," kata seorang lelaki kepada anak saudaranya dengan loghat utara.

Ya, nak hidup macam mana dengan gaji sebanyak tu?

Penulis yang ketika itu tidak mempunyai jawapan terhadap lontaran soalannya hanya membisu. Kini 15 tahun telah berlalu, anak buahnya sedang berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah universiti terkemuka di Malaysia, juga memiliki ijazah doktor falsafah.

Perjalanannya sangat menarik. Tamat sahaja di pusat tahfiz, dia terus mendaftar di tingkatan lima di sebuah sekolah pinggir kota untuk mengambil SPM.

Meskipun sempat belajar hanya setahun, dia mendapat 8A dalam peperiksaan SPM dan menjadi antara pelajar paling cemerlang di sekolah tersebut.

Dia kemudian menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan pascaijazah sehingga berjaya.

Itu hanyalah satu contoh, dan terdapat banyak kes lain melibatkan pelajar tahfiz yang berjaya dalam kerjaya dan boleh boleh dijadikan ukuran bahawa mereka ialah mutiara yang perlu diberi ruang untuk memperkasa negara ini. Mengapa?


Baca Zam: Sebab saya cadang sekolah tahfiz ditutup


Mereka mempunyai daya tahan dan kekuatan yang tidak ada pada pelajar lain.

Dari sudut mental, otak mereka dilatih dan diasah untuk menanggung hafalan lebih 6,000 ayat al-Quran sepanjang masa.

Dari sudut fizikal, mereka boleh menahan kesusahan. Makan ala kadar, basuh baju dengan tangan sendiri, tidur di atas hamparan nipis sudah biasa bagi mereka.

Dalam cabaran hidup masa kini, pelajar tahfiz boleh bertahan dalam apa jua keadaan yang mencabar dan menekan.

Sebagai bonus, al-Quran yang tersimpan kemas di dalam dada menahan mereka daripada terjebak dalam gejala sosial yang menjangkiti kebanyakan remaja di luar sana.

Pelajar tahfiz hanya perlu diberikan ruang dan peluang untuk membuktikan bahawa mereka adalah insan berintegriti yang mempunyai potensi besar membangunkan negara tercinta ini.


DR MOHAMMAD AMIR WAN HARUN ialah pensyarah pengajian Islam di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen