malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M kepada media: Bantu kami banteras rasuah
ADS

KEMASKINI 12.30PM | Sempena ulang tahun ke-93 Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, beliau berkata permintannya adalah agar media membantu usaha kerajaan dalam membanteras rasuah.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita apakah permintaan hari jadinya, ketika sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi tadi.

"Saya harap media membantu kami melawan rasuah," katanya.

Hari ini SPRM akan mengadakan taklimat terhadap semua wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) berhubung pendekatan antirasuah baru badan itu.

Semalam, Mahathir mengumumkan semua wakil rakyat HARAPAN perlu mengisytiharkan harta mereka serta melaporkan sebarang hadiah yang diterima, kepada pihak berkuasa.

Taklimat hari ini akan disampaikan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Bagaimanapun Mahathir berkata beliau tidak akan menyertai sesi hari ini kerana telah diberi penerangan sebelum ini oleh Abu Kassim.

"Semua wakil rakyat HARAPAN termasuk menteri dijangka hadir.

"Malangnya saya sudah diberi penerangan banyak kali oleh Abu Kassim, jadi saya tahu apa yang akan diperkatakannya dan tak akan hadir," katanya lagi.

Katanya, taklimat itu bertujuan untuk memastikan wakil rakyat memimpin berdasarkan tauladan.

"Jika tidak, sukar untuk mereka menasihati orang lain untuk menolak rasuah," katanya lagi.

Lihat Komen