malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Isytihar harta: Kerajaan timbang banyak mana maklumat boleh didedah
ADS

KEMASKINI 12.30PM | Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pengisytiharan aset wakil rakyat mungkin melibatkan anggota keluarga, seterusnya menjejaskan maklumat peribadi mereka jika ia dibentang kepada umum.

"Ini melibatkan ramai orang, termasuk anggota keluarga. Kami sedang menimbang sebanyak mana yang boleh didedahkan kepada umum.

"Ini mungkin menjejaskan privacy ramai orang termasuk anggota keluarga," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Mahathir mengumumkan semua wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) - anggota parlimen dan ADUN, termasuk jemaah menteri - wajib mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Sebelum ini, beliau sering dikritik atas dakwaan mengkayakan anak-anaknya, dengan anak lelakinya Tan Sri Mokhzani Mahathir tersenarai antara individu terkaya di Malaysia.

Namun beliau berulangkali menafikan anak-anaknya mendapat manfaat daripada kontrak kerajaan atau kedudukannya sebagai perdana menteri pada masa lalu.

Selain mengisytiharkan harta, wakil rakyat HARAPAN perlu melaporkan sebarang hadiah yang diterima kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun Mahathir hari ini bereka belum ada tarikh akhir yang ditetapkan bagi pengisytiharan harta itu.

Ketika ditanya sama ada langkah itu memadai untuk menghalang wakil rakyat daripada terlibat dengan rasuah, beliau berkata tidak akan tahu secara pasti sehinggalah ada yang ditangkap.

"Jika mereka langgar undang-undang, ia bermakna apa yang saya buat tak cukup," katanya lagi.

Lihat Komen