malaysiakini logo
story-image
ADS

EKSKLUSIF | Ketika tempoh berkempen bagi pilihan raya umum (PRU) ke-14, gambar yang memaparkan pihak berkuasa memotong wajah Tun Dr Mahathir Mohamad dari papan kempen DAP tular di media sosial dan memberi kesan yang besar.

Pakatan Harapan (HARAPAN) yang sekian lama menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kecenderungan berpihak kepada BN menuding jari kepada perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak atas kejadian berkenaan.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini minggu lalu, Najib menafikan memberi arahan kepada atau masuk campur dalam tindakan SPR.

Najib berkata, jika dia masuk campur dalam proses pilihan raya, BN tidak akan kalah dalam pilihan raya 9 Mei lalu.

Najib juga menyorot bahawa dia maklum terdapat khabar angin yang mengatakan ada orang dalam yang melakukan sabotaj dalam SPR dan Umno bagi melihat Dr Mahathir menang.

"Ini hanya spekulasi. Saya tidak mahu, maksud saya, ada orang kata ia sabotaj, kita tidak tahu.

"Anda cuma perlu lihat kesinambungan kejadian dan tanya orang yang berkaitan. Kadang-kadang ia tidak terjadi di bahagian atas, ia terjadi di bahagian bawah, tapi saya tidak mahu membuat tuduhan tertentu," katanya.

Najib juga berkata dia tidak senang beberapa perkara yang terjadi pada hari pengundian, terutamanya barisan panjang di pusat pengundian - kejadian yang juga dikaitkan dengannya.

"Masa yang lama yang diambil oleh pengundi untuk membuang undi, mengecewakan saya. Kebanyakan penyokong kami disuruh pulang atau membuat keputusan untuk pulang, dan mereka kecewa, mereka terpaksa menunggu tiga atau empat jam sebelum boleh mengundi.

"Ini perkara yang tidak sepatutnya terjadi," katanya.

Bekas presiden Umno itu juga mendakwa jika terdapat empat saluran mengundi di satu-satu pusat pengundian pada PRU ke-13, SPR seharusnya menjangkakan keperluan untuk menambah saluran mengundi bagi PRU ke-14 memandangkan terdapat pertambahan pengundi.

"Saya menjangkakan perkara seperti ini dimasukkan dalam pertimbangan. Terdapat laporan yang mengatakan saluran mengundi 1 dan 2, bagi pengundi 50 tahun dan ke atas, mereka diletakkan di tingkat dua atau tingkat tiga dan warga emas perlu dibantu dan perkara ini menyusahkan pengundi," katanya.

Jelas Najib, pengundi warga emas di saluran 1 dan 2 adalah pengundi yang lebih cenderung mengundi BN dan mereka akan keberatan keluar mengundi jika dengar terpaksa menunggu lama.

"Jadi ini adalah perkara yang saya tidak senang... Ini adalah perkara-perkara yang terjadi yang memberi kemudaratan kepada kami (BN).

"Tapi sistem macam itu. Setiap hal kecil disalahkan kerajaan dan perdana menteri," katanya.

Berikut merupakan petikan wawancara berkenaan, yang sudah disunting untuk diringkas kan dan penggunaan bahasa yang betul:

Malaysiakini: Bagi BN, di mana silapnya?

Najib: Ini cerita panjang. Kami akan ada di sini sampai petang jika perlu ceritakan semua yang silap. Ia sebenarnya, disebabkan oleh beberapa perkara. Dalam kes ini, ia merupakan keruntuhan sistematik banyak perkara sabotaj dalaman, kelemahan dalam memainkan peranan....

Kami mengadakan kempen yang positif. Kami fikir kami ada kisah yang hebat untuk dikongsi, ke mana kita nak bawa negara. Kami ada wawasan untuk Malaysia dan rancangan sebenar untuk negara ini. Kita sudah melaksanakannya dan kita yakin boleh melaksanakan lebih banyak lagi.

Kami fikir itu sudah cukup bagus, kisah yang hebat untuk diberitahu pada rakyat. Dan kami ada hasilnya. Angka pertumbuhan. Pertumbuhan yang kukuh, pembangunan terutama di negeri Sabah dan Sarawak yang sebelum ini diabaikan, selain negeri pantai timur semenanjung, kami meningkatkan pengangkutan awam dengan begitu ketara, pengangguran rendah, ketidaksamarataan gaji semakin diatasi, pasaran saham kukuh.

Ringgit juga semakin kukuh, harga komoditi semakin baik. Kita selesaikan perjanjain IPP yang berat sebelah yang menjimatkan kita berbilion ringgit setiap tahun, beli semula lebih raya PLUS bagi memastikan tidak peningkatan tol di lebuh raya yang dimiliki PLUS dan memastikan KWSP mendapat manfaat daripada kutipan tol.

Bank Dunia dan IMF meramalkan Malaysia akan mencapai status negara berpendapatan tinggi seawal tiga tahun ke hadapan.

Setiap sektor, golongan kelas pertengahan sekalipun, kita mempunyai pengurangan ketara cukai pendapatan dan jika pendapatan RM4,000 dan ke bawah, tak perlu bayar cukai. Saya memberikan pelbagai pengecualian dan melaksanakan bantuan kepada golongan B40 yang merupakan pertama kali dalam sejarah Malaysia.

Sudah tentu, ada banyak lagi yang kita boleh banggakan dalam sembilan tahun ketika saya menjadi perdana menteri. Saya rasa kesilapan terbesar kami adalah tidak membuat janji manis (dalam manifesto) yang kami tahu mustahil dilaksanakan seperti apa yang dilakukan pembangkang.

Malaysiakini: Adakah kekalahan ini akan menjadi pengakhiran buat BN?

Najib: Saya tidak fikir ia merupakan pengakhiran untuk BN tapi ia akan menjadi jalan yang sukar buat BN untuk terus ke hadapan. Semestinya, bukan untuk mereka yang lemah semangat. Untuk berjaya mengatasi cabaran seperti ini, anda perlu mempunyai keberanian, anda perlu sabar. Anda perlu mampu meyakinkan rakyat untuk mendapatkan semula keyakinan mereka.

Jangan lupa Reformasi mengambil masa 20 tahun untuk tiba pada hari ini. Pada satu tahap, pada 2004, mereka (pembangkang ketika itu) hampir terhapus sepenuhnya (dalam pilihan raya), namun mereka bertahan, dan bangkit semula. Dan ada antara mereka yang boleh menceritakan kisah mengerikan ketika mula-mula reformasi tercetus tentang pemimpin mereka, mereka menjadi "tetamu" kerajaan dalam tempoh yang agak lama, tapi keadaan sudah berbeza hari ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen