malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahli NGO, PAS bantah pengiktiran UEC
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 5:52 PM
Dikemaskini: 9:55 AM
ADS

Kira-kira 200 anggota badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik berhimpun di luar Masjid Al-Azim, Bukit Palah di Melaka, hari ini mengesa kerajaan negeri Melaka menarik balik pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dilihat menjejaskan integrasi nasional dan perpaduan rakyat Malaysia.

Pesuruhjaya PAS Melaka Kamaruddin Sidek berkata gesaan itu bukan tindakan politik atau perkauman, tetapi sebuah usaha bagi memastikan inisiatif melahirkan generasi muda Malaysia yang bersatu di bawah satu negara melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan dapat dilaksana dengan berkesan.

Beliau berkata UEC menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar, justeru apakah mekanisme yang dapat memastikan penjawat awam dilantik kerajaan negeri mampu mempunyai penguasaan bahasa Malaysia di tahap tertinggi seperti keperluan perjawatan awam seluruh negara.

“Isu asasnya adalah perpaduan negara, ia beri kesan besar jangka panjang kalau penjawat awam pun tak boleh cakap bahasa Malaysia dengan betul, ini masalah besar.

“Dasar Pendidikan Kebangsaan cukup baik kerana adanya integrasi dalam pendidikan supaya jangan ada pengasingan dari segi bahasa, budaya, agama dan sebagainya, tetapi mampukah UEC melaksana perkara yang sama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri himpunan itu.

Pada Isnin lepas, Ketua Menteri Adly Zahari dilaporkan sebagai berkata pengambilan lulusan UEC dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri Melaka kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Kamaruddin berkata silibus pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah dalam UEC dilihat tidak setaraf dengan tahap silibus pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilaksana bagi membentuk jati diri kukuh rakyat Malaysia.

“Pelajar SPM hendak lulus Bahasa Malaysia dan Sejarah atau nak dapat A sekalipun bukan perkara mudah, menunjukkan ketegasan Dasar Pendidikan Kebangsaan membentuk jati diri rakyat, adakah UEC setanding dengan SPM dalam perkara ini ?,” katanya.

Yang Dipertua Ikatan Mulimin Malaysia (Isma) Negeri Melaka Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata pengiktirafan sepatutnya tidak diberikan kepada UEC kerana ia tidak mematuhi kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Kementerian Pendidikan.

“UEC tidak mematuhi kehendak silibus mata pelajaran asas bernegara terutamanya Bahasa Malaysia dan Sejarah seperti dalam SPM. Dasar Pendidikan Kebangsaan terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 menetapkan bahasa Malaysia bahasa pengantar utama perlu diyakini rakyat dalam memajukan negara dan bukan sebaliknya.

“UEC hanya akan memberikan kesan buruk kepada perpaduan negara. Ini sudah pasti membuatkan keharmonian negara terjejas, jurang perbezaan antara kaum lebih besar kerana perbezaan silibus dan bahasa,” katanya.

Beliau berkata ini adalah soal pembinaan sebuah negara Malaysia, justeru kerajaan negeri Melaka mesti mengambil kira perlembagaan dan undang-undang serta kepentingan negara dalam membuat sebarang keputusan berkaitan UEC.

- Bernama

 

Lihat Komen